ZAMZURI diiringi anggota polis untuk mendengar pertuduhan abai waran tangkap di Mahkamah Majistret Alor Setar.
Oleh Norul Awatif Romli
awatifromli@hmetro.com.my

Alor Setar: Seorang penoreh getah didenda RM2,950 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, semalam terhadap sembilan pertuduhan mengabaikan lapan waran tangkap membabitkan pelbagai kesalahan trafik dari 2003 hingga 2013.

Tertuduh Mohd Zamzuri Mohamad Zain, 37, dari Kampung Mani Mukim Belimbing Kanan, Kuala Nerang, diberkas polis melalui Ops Warta didapati bersalah kerana kerap melakukan kesalahan sama iaitu motosikal tidak mempunyai cukai jalan dan melanggar peraturan jalan raya.

Majistret Nur Fadrina Zulkhairi memerintahkan tertuduh membayar denda sebanyak RM2,950 bagi semua kesalahan berkenaan dan akan berdepan penjara 44 hari jika gagal membayar saman terbabit.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohd Zamzuri dituduh tidak berhenti semasa lampu isyarat merah di Jalan Kuala Nerang pada 28 September 2013 dan didakwa mengikut Seksyen 119(2) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang dibaca bersama Seksyen 128(1) akta sama.

Selain itu, lelaki berkenaan juga didakwa melakukan kesalahan kerana gagal mengemukakan lesen memandu untuk pemeriksaan apabila diminta seorang pegawai polis di Jalan Kuala Nerang pada April hingga Jun 2003 dan September 2013 lalu.

Tertuduh juga didapati bersalah kerana gagal mempamerkan cukai jalan pada kenderaan berkenaan di Kuala Nerang pada Januari 2013.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 20(1) APJ1987 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 119(2) akta sama.

Tertuduh turut didakwa bersalah kerana tidak mempunyai cermin pandang belakang pada April 2003, Februari 2006 dan Mac 2010 sekitar Jalan Kuala Nerang serta didakwa mengikut Seksyen 119(2) APJ1987 dan dibaca bersama Seksyen 128(1) akta sama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mei 2015 @ 10:01 AM