STACY dakwa apa yang berlaku adalah provokasi.
Oleh Wahi Aziz
wahiduzzaman@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penyanyi Stacy berpendirian untuk tidak menghebahkan kepada umum sebarang perkembangan berhubung dakwaan kononnya dia sedang mendalami Islam seperti yang kecoh diperkatakan, kebelakangan ini.

Menurut Stacy, kenyataan kekasihnya penyanyi Akim Ahmad kononnya dia bakal memeluk Islam adalah perkara tidak sahih yang diputarbelitkan daripada kenyataan sebenar.

“Dia (Akim) tidak cakap begitu sebenarnya mengenai isu agama. Bab agama adalah perkara yang sensitif dan ia bukan saja membabitkan saya, tapi keluarga juga.

“Saya tidak gembira dan terkilan apabila kenyataan Akim diputarbelitkan daripada kenyataan sebenar sehingga menimbulkan kekeliruan yang lebih serius,” katanya.

Kontroversi membabitkan Stacy atau Stracie Angie Anam, 25, mengenai isu memeluk Islam tercetus berikutan kenyataan Akim yang diputarbelitkan kononnya penyanyi dari Sabah itu sedang mendalami agama Islam kerana mereka dikatakan bakal berkahwin.

Terdahulu, dalam kenyataan Stacy kepada Harian Metro pada 16 Mei lalu, penyanyi Not For Sale itu kesal apabila gambar seorang perempuan dikatakan dirinya mengucap dua kalimah syahadah di hadapan ustaz dan saksi lain tersebar di media sosial.

Walhal, jelas Stacy ia adalah fitnah dan provokasi sengaja dicetuskan pihak tertentu untuk mencetuskan salah faham.

Provokasi membabitkan isu kononnya Stacy bakal memeluk Islam menjadi bualan sejak Akim membuat pendedahan umum Februari lalu yang mengesahkan mereka menjalin hubungan cinta sejak beberapa tahun lalu.

Mengulas lanjut, Stacy berkata, keterbukaan dirinya dan Akim berkongsi mengenai perkembangan hubungan mereka hanya mencetuskan pelbagai masalah.

“Sebab itu ada baiknya jika saya atau Akim tidak jawab apa-apa lagi mengenai hubungan kami. Cukuplah orang sudah tahu kami berkawan dan hal-hal lain biarlah kami simpan dulu.

“Apapun perkembangan hubungan kami selepas ini tidak kiralah soal saya akan memeluk Islam atau berkahwin pun, rasanya kami tidak mahu hebahkan lagi sebab bimbang timbul kekeliruan begini,” katanya.

Katanya, pelbagai spekulasi keterlaluan khususnya terhadap selebriti sekarang timbul kerana provokasi dan sikap tidak sensitif golongan juara papan kekunci (keyboard warriors) pada masa kini.

“Banyak hal yang berlaku sekarang ini disebabkan sikap pengguna media sosial itu sendiri yang melampau dan tidak sensitif. Mereka sengaja membesar-besarkan dan mereka sesuatu isu sehingga mencetuskan pelbagai salah faham.

“Saya tidak akan ambil apa-apa tindakan buat masa ini walaupun sudah terkena teruk dengan kes memeluk Islam ini, tapi kalau perkara begini berulang dan lebih melampau, saya tidak teragak-agak bertindak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mei 2015 @ 9:57 AM