DR S Subramaniam (kanan) di Persidangan Kebangsaan Penyelidikan Klinikal ke-9 di Grand Ballroom, Bayview Beach Resort , Batu Feringghi, Pulau Pinang.
Oleh Zuhainy Zulkiffli
am@hmetro.com.my

Georgetown: Kementerian Kesihatan tidak berhasrat membuka semula pusat penempatan pesakit kusta di Pulau Jerejak, di sini, walaupun berlaku peningkatan kes berkenaan di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, ia berikutan tahap jangkitan penyakit terbabit sangat rendah selain tempoh pemulihannya dapat dijalankan dalam masa singkat selepas pesakit menerima rawatan.

Beliau berkata, kebimbangan utama kementerian ketika ini adalah kebanjiran golongan pendatang tanpa izin (PATI) yang menghidap penyakit terbabit ke negara ini.

“Dikhuatiri penyakit yang dihidapi itu akan merebak kepada individu lain yang tinggal bersama mereka dan selain itu, kementerian sudah mengarahkan pelancong supaya membuat saringan penyakit ini di negara masing-masing sebelum memasuki Malaysia.

“Kita berharap Kementerian Dalam Negeri (KDN) dapat menghalang pelancong yang menghidap kusta daripada memasuki negara ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Penyelidikan Klinikal Antarabangsa ke-9 di Batu Feringghi, semalam.

Dalam perkembangan lain, Subramaniam berkata, kementerian mengenal pasti punca utama peningkatan kes demam denggi di negara ini iaitu peningkatan penularan empat jenis kes demam denggi, faktor demografi dan kegagalan pesakit mengenal pasti simptom wabak itu.

Beliau berkata, kementerian sudah mengenal pasti demam denggi yang menular pada tahun lalu daripada jenis Den2, sebaliknya pada tahun ini, wabak daripada Den1 dijangka meningkat.

“Bagi pesakit yang menerima rawatan bagi Den2, kemungkinan akan menghidap demam sama daripada jenis Den1, Den3 atau Den4 berikutan vaksin diterima tidak meliputi keseluruhan jenis wabak demam denggi.

“Selain pesakit yang gagal mengenal pasti simptom demam, faktor kepadatan penduduk di sesebuah kawasan turut memudahkan wabak berkenaan tersebar dan menyebabkan peningkatan,” katanya.

Kadar kematian akibat demam denggi antara Januari hingga 11 April lalu mencatatkan peningkatan sebanyak 79.4 peratus iaitu 113 kes berbanding 63 kematian dilaporkan bagi tempoh sama pada 2013.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mei 2015 @ 9:25 AM