KERETA tertuduh turut disita.
Oleh Balvin Kaur
am@hmetro.com.my

Georgetown: Seorang lelaki berusia 48 tahun didenda RM27,000 dan penjara lima hari di Mahkamah Majistret di sini, semalam selepas mengaku bersalah memiliki 31,800 batang rokok seludup.

Tertuduh, Tan Ban Huat turut berdepan hukuman penjara 15 bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Dia didakwa memiliki rokok seludup pelbagai jenama bernilai RM2,688 di dalam kereta Proton Personanya di kawasan belakang rumah kedai di Taman Jelutong, di sini, pada jam 3.45 petang 22 Mei lalu.

Antara jenama rokok seludup berkenaan ialah John, Luffman dan Gudang Garam.

Dia didakwa mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki atau menjual rokok seludup yang membawa hukuman 10 kali ganda nilai rampasan atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Tan yang memakai baju-T putih serta seluar pendek kelabu kelihatan tenang ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan di depan Majistret Sri Pracha Nanthini Balabedha.

Sri Pracha kemudian memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari hari tertuduh ditangkap.

Kereta tertuduh turut disita.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Mohd Safwan Fathy Yahya manakala tertuduh diwakili G Shanmugam.

Terdahulu, Shanmugam memohon mahkamah meringankan hukuman terhadap anak guamnya dengan alasan tertuduh perlu menjaga ibunya yang berusia 70 tahun selain mempunyai pendapatan hanya RM70 sehari.

Sejak Ops Outlet dilancarkan, seramai 6,295 orang ditahan dan daripada jumlah itu, seramai 2,202 orang didakwa di mahkamah dan dijatuhi hukuman termasuk denda serta penjara.

Dalam tempoh lima tahun dari 2010 hingga 31 Mac lalu, sebanyak 40,498 outlet diperiksa dan dalam tempoh itu, sebanyak 1.089 bilion batang rokok bernilai RM86.74 juta dengan nilai kutipan cukai RM545.75 juta dirampas.

Selain itu, kastam mendapati peningkatan perokok daripada 3.1 juta pada 2007 kepada 4.7 juta pada tahun lalu juga antaranya disebabkan lambakan rokok seludup pelbagai jenama.

Berikutan itu, kastam akan mempergiatkan lagi Ops Outlet pada tahun ini, malah tumpuan bukan saja kepada penyeludupan rokok, tetapi diperluaskan kepada penyeludupan arak.

Pihak berkuasa berkenaan menyasarkan 2,000 tangkapan untuk kes penyeludupan rokok dan arak sepanjang tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mei 2015 @ 11:14 AM