KEADAAN bas yang terbabit nahas di Jalan Londang, Tanjung Bidara.
Oleh Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@hmetro.com.my

Alor Gajah: Seorang operator pengeluaran wanita parah selepas bas dinaiki terbabit kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Londang, Tanjung Bidara, di sini, kelmarin.

Sarifah Mat Ausoh, 47, satu-satunya penumpang di dalam bas pekerja itu tercampak daripada tempat duduk sehingga menyebabkan kecederaan di bahagian muka dan tangan kiri.

Difahamkan, dalam kejadian jam 8.30 malam itu, bas pekerja membawa seorang penumpang itu hilang kawalan apabila tiba di jalan berhampiran Taman Bidara Permai sebelum terbabas merempuh belakang lori tiga tan dan Toyota Unser.

Saksi kejadian iaitu peniaga burger Mohd Hanafi Mazlan, 26, berkata, lori dan Toyota Unser itu diparkir di bahu jalan dipercayai pemiliknya mahu makan malam di restoran di situ.

“Saya dan pelanggan terkejut melihat bas itu melanggar belakang lori. Kemudian, bas itu merempuh belakang Toyota Unser diparkir di depan lori,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Superintendan Muhammad Ismail Muhammad Yusuf ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan memaklumkan mengenai kejadian itu jam 8.45 malam.

“Hasil siasatan, pemandu bas didapati gagal mengawal kenderaan dipandu sehingga hilang kawalan manakala lori dan kereta Toyota Unser didapati diletakkan di atas garisan kuning.

“Ketiga-tiga pemilik kenderaan, bas, lori dan kereta kenderaan pelbagai guna (MPV) itu melakukan kesalahan mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Mangsa yang kini dirawat di Hospital Melaka dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mei 2015 @ 10:19 AM