SUSPEK dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Bharu.

Kota Bharu: Seorang lelaki berusia 22 tahun ditahan reman selama tujuh hari sehingga Isnin ini berhubung kes penculikan seorang kanak-kanak berumur tujuh tahun.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Pendaftar Mahkamah Majistret Kota Bharu Roszita Md Saad.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Rohaimi Md Isa berkata, suspek ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan.

“Kami akan menjalankan siasatan terperinci untuk mengetahui sama ada suspek terbabit dengan sindiket menculik dan mengemis kanak-kanak atau tidak.

“Siasatan menjurus untuk mengetahui ada mangsa lain yang diculik digunakan untuk tujuan mengemis,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Harian Metro sebelum ini melaporkan kanak-kanak terbabit, Aiman Kamarolzaman, 7, diculik lelaki tidak dikenali di Masjid Muhammadi, Jalan Sultanah Zainab, di sini, ketika menemani bapanya menunaikan solat Isyak Jumaat lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mei 2015 @ 10:09 AM