Oleh Siti A’isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my

Putrajaya: Selain meragui bahan kandungan dikatakan syubhah, segelintir ibu bapa yang tidak mahu menghantar bayi ke klinik bagi menjalani program imunisasi mendakwa tidak mendapat penerangan jelas daripada doktor atau jururawat mengenai kesan selepas pengambilan vaksin kepada anak mereka.

Mereka turut mempersoalkan mengenai maklumat dalam buku Garis Farmakovigilans Keselamatan Vaksin di Malaysia dikeluarkan Kementerian Kesihatan yang boleh dimuat turun dari laman web rasmi kementerian itu.

Ada dalam kalangan ibu bapa terbabit turut mendakwa, doktor atau jururawat tidak dapat memberi penjelasan berhubung garis panduan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan sekali gus mereka mengambil keputusan tidak mengambil vaksin untuk anak.

Keputusan itu dikatakan diambil selepas ibu bapa terbabit melakukan kajian dan pembacaan terhadap garis panduan berkenaan selain Internet dan buku termasuk bertanya kepada mereka berpengalaman.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam di Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan, Dr Rohani Jahis ketika diminta memberikan maklum balas berkenaan perkara itu berkata, isu itu ada dibangkitkan sejak dua tahun lalu.

“Kita sudah meminta jururawat untuk memaklumkan kepada ibu bapa mengenai perkara ini. Justeru, kita berharap jururawat dapat memberi penerangan kepada ibu bapa apabila mahu memberikan suntikan kepada bayi,” katanya ketika dihubungi.

Pada masa sama, beliau berkata, ada ibu bapa mendakwa anak mereka mengalami gejala kulit atau ekzema atau asthma didakwa selepas pemberian vaksin.

“Bagaimanapun, perkara itu tidak dapat disahkan. Hal ini kerana ibu bapa terbabit tidak membawa bayi mereka bertemu doktor untuk mendapatkan pengesahan berhubung masalah dialami,” katanya.

Menerusi garis panduan berkenaan, turut dinyatakan topik mengenai Pengendalian Kejadian Kesan Advers Berikutan Pelalian (AEFI) bagi kesan biasa iaitu reaksi setempat dan reaksi sistematik.

Bagi reaksi setempat antaranya sakit, bengkak dan kemerahan pada tempat suntikan manakala, reaksi sistematik seperti demam, irritabiliti, lemah serta hilang selera makan.

Turut dinyatakan mengenai AEFI serius selepas tempoh 24 jam pengambilan vaksin, lima hari, 15 hari, tiga bulan antara satu hingga 12 bulan selepas suntikan BCG.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mei 2015 @ 10:48 AM