Nursyazlyana menunjukkan surat biasiswa yang diperolehnya.

Shah Alam: Enam penuntut jurusan diploma Kolej Automotif Antarabangsa (ICAM) disifatkan amat bertuah apabila menerima surat tawaran biasiswa penuh disampaikan Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom Tan Sri Mohd Khamil Jamil, di sini, semalam.

Mohd Khamil berkata, penuntut terbabit dipilih berdasarkan keputusan cemerlang mereka dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“ICAM ditubuhkan untuk mewujudkan kecemerlangan pendidikan dan pembangunan modal insan dalam sektor automotif. Ia bukan hanya untuk kumpulan DRB-HICOM, tetapi bagi memenuhi aspirasi negara ke arah pembangunan yang mahir, cekap dan berpengetahuan.

“Mereka diberi biasiswa kerana kita melihat potensi yang ada dalam diri mereka terutamanya untuk kumpulan DRB-HICOM seterusnya membantu mewujudkan sektor automotif lebih bertenaga dan berdaya saing,” katanya dalam ucapan perasmian Majlis Anugerah Biasiswa ICAM di Wisma Kumpulan DRB-HICOM, di sini, semalam.

Mohd Khamil berkata, biasiswa itu ditawarkan ICAM kepada pelajar yang memenuhi syarat asas iaitu mendapat keputusan minimum 5A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) termasuk mata pelajaran Bahasa Inggeris dan Matematik.

“Antara syarat lain biasiswa ICAM adalah penerima biasiswa yang sudah tamat pengajian perlu bekerja di Kumpulan DRB-HICOM selama lima tahun,” katanya.

Selain itu, Mohd Khamil berkata, persepsi masyarakat terhadap jurusan pengajian automotif juga perlu diubah kerana masyarakat melihat automotif adalah jurusan yang menawarkan peluang kerjaya berstatus rendah dan sederhana saja.

Sementara itu penerima biasiswa, Tan Ying Ru, 19, berkata, biasiswa itu sangat bermakna berikutan kedudukan kewangan keluarganya yang tidak stabil.

“Saya memilih ICAM kerana disyorkan oleh rakan dan mereka beritahu ICAM menyediakan biasiswa untuk pelajar seperti saya.

“Saya akan menggunakan peluang diberikan sebaik mungkin untuk menimba ilmu dan pengalaman lebih mendalam seterusnya menjadi aset berharga kepada industri automotif,” katanya.

Tan yang kini menuntut di semester pertama Diploma Pengurusan Sistem mendapat 11A dalam SPM adalah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Cina Chung Cheng, Kota Bharu, Kelantan.

Bagi pelajar semester tiga Diploma Pengurusan Sistem Automotif, Nursyazlyana Mohd Zubir, 19, biasiswa yang diperoleh daripada semester pertama itu sangat membantunya terutama yuran pengajian dibiayai sepenuhnya ICAM.

“Biasiswa yang diberikan menjadi motivasi untuk saya belajar bersungguh-sungguh seterusnya memastikan saya layak menerima biasiswa ini sepanjang pengajian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mei 2015 @ 5:16 AM