KANAK-KANAK Rohingya yang belajar di Pusat Pendidikan Rohingya Kuantan, semalam.

Kuantan: Jaringan Global Masa Depan (FGN) berhasrat menubuhkan pusat pendidikan peringkat menengah bagi kanak-kanak Rohingya yang memegang status pelarian Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNCHR) di negara ini.

Pengarah Pendidikan FGN Nur Azlina Abdul Aziz berkata, usaha itu bagi membolehkan golongan terbabit mendapat pendidikan berterusan seperti kanak-kanak lain walaupun ibu bapa mereka bukan warga negara dan hanya berstatus orang pelarian.

Beliau berkata, langkah itu perlu bagi memastikan kanak-kanak malang itu mempunyai kelayakan dan kemahiran diperlukan untuk menceburi bidang pekerjaan apabila berhijrah ke negara ketiga.

“Ketika ini, pihak kami masih dalam peringkat menyediakan kertas kerja termasuk kurikulum yang sesuai ke arah merealisasikan matlamat ini.

“Kami juga memerlukan kerjasama sektor swasta dalam menyediakan penajaan dalam bentuk dana untuk menubuhkan dan menguruskan pusat pendidikan ini,” katanya selepas pelancaran Pusat Pendidikan Rohingya (REC) Kuantan di Indera Mahkota, di sini, semalam.

Pelancaran itu disempurnakan Penasihat Yayasan Albukhary, Haridan Ismail dan turut dihadiri Ketua Pendidikan UNCHR Malaysia Niaz Ahmad.

Nur Fazlina berkata, penubuhan pusat pendidikan itu dianggap perlu memandangkan ada dalam kalangan kanak-kanak Rohingya yang cemerlang dalam pendidikan di peringkat rendah tetapi tidak dapat melanjutkan pengajian kerana status mereka.

“Sebelum ini, ada murid kita di Pulau Pinang yang mendapat tajaan melanjutkan pengajian di sekolah swasta, tetapi hanya separuh jalan selepas permohonan ibu bapa untuk berhijrah ke Amerika Syarikat diluluskan pihak berkuasa negara itu.

“Ada juga beberapa pelajar kita di Klang, Selangor yang melanjutkan pelajaran dalam bidang sijil automotif selepas menerima tajaan daripada pihak berkuasa agama di negeri berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Nur Fazlina berkata, REC Kuantan adalah kerjasama FGN dengan Yayasan Albukhary bagi menyediakan pendidikan asas untuk kanak-kanak komuniti berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya amat terharu kerana sambutan diterima dengan penubuhan REC terbaru itu dengan pendaftaran murid melebihi sasaran awal iaitu 100 orang.

“Selain REC Kuantan, FGN mempunyai dua lagi sekolah pelarian Rohingya iaitu di Pulau Pinang dan Selangor.

“REC Pulau Pinang ditubuhkan pada 2010 manakala Selangor pada 2012 dengan jumlah murid seramai 500 orang. Sesuatu yang membanggakan adalah pencapaian kanak-kanak ini sama seperti murid di sekolah rendah biasa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mei 2015 @ 10:03 AM