DR Wahid (tiga dari kiri) bersama Duta Palestin, Dr Anwar (dua dari kanan) di majlis Perjumpaan Duta Palestin ke Malaysia bersama pelajar Palestin.
Oleh Redzuan Muharam
am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Rakyat Palestin yang menamatkan pengajian di negara ini perlu kembali untuk berbakti membangunkan tanah air mereka menggunakan kepakaran dalam bidang masing-masing.

Duta Palestin ke Malaysia Dr Anwar Alagha berkata, kepakaran dan kemahiran dimiliki graduan itu perlu untuk membangunkan semula Palestin yang mengalami kemusnahan teruk selepas diserang rejim Zionis.

Menurutnya, langkah itu sekurang-kurangnya memberi peluang kepada graduan untuk berbakti di negara asal, sekali gus meringankan beban rakyat yang menderita akibat peperangan.

“Setakat ini, kira-kira 2,000 rakyat Palestin melanjutkan pengajian di universiti awam dan swasta di negara ini. Tambah istimewa apabila sebahagian daripada mereka mendapat tajaan biasiswa daripada institusi pengajian di sini.

“Kerajaan Palestin berharap mereka menghargai sokongan dan kembali ke negara asal selepas bergelar graduan. Mereka diharap berbakti serta membantu rakyat di sana yang ketinggalan dalam aspek pendidikan dan pembangunan,” katanya selepas majlis Memperingati Ulang Tahun Hari Nakba ke-67 di Dewan Senat, Bangunan Canselori Sultan Ibrahim Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, di sini, semalam.

Sementara itu, Naib Canselor UTM Profesor Datuk Dr Wahid Omar berkata, pihaknya sememangnya memberi ruang dan peluang kepada penuntut luar negara termasuk Palestin yang mahu melanjutkan pengajian mereka di UTM.

Menurutnya, setakat ini, UTM mempunyai 29 penuntut dari Palestin yang sedang melanjutkan pengajian di Kampus Skudai dan Kuala Lumpur.

“Seramai 10 daripada mereka menerima tajaan biasiswa daripada UTM merangkumi pembiayaan yuran pengajian sebanyak RM5,000 bagi setiap semester serta elaun sara hidup bulanan berjumlah RM1,600.

“Selain itu, kita turut membiayai pengajian dua penuntut kedoktoran antarabangsa dari Palestin dengan jumlah tajaan sebanyak RM6,000 bagi setiap seorang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mei 2015 @ 9:23 AM