Alor Setar: Tiga suspek termasuk seorang wanita ditahan polis selepas mengaku menyimbah asid terhadap seorang anggota Pertubuhan Unit Kawalan Keselamatan (UKK) Kota Setar di sebuah premis terbiar di Jalan Sungai Korok, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan berkata, ketiga-tiga suspek itu kini ditahan reman hingga Selasa depan bagi membantu siasatan polis mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan (KK) kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.

Katanya, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau sebat atau satu daripada dua seksaan itu.

“Sebaik menerima laporan berhubung kejadian, sepasukan anggota polis dikejarkan ke lokasi dan mendapati mangsa seorang anggota UKK mengalami kecederaan di muka dan mata akibat disimbah cecair dipercayai asid.

“Mangsa kemudian dihantar ambulans ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk rawatan lanjut dan keadaannya kini dilaporkan stabil,” katanya.

Katanya, siasatan awal dua lelaki terbabit berusia 39 dan 55 tahun, manakala wanita berusia 38 tahun dan berasal dari daerah ini.

“Polis masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti sama ada cecair yang digunakan adalah asid atau sebaliknya.

“Kita juga akan memeriksa rekod lampau mereka bagi mengenal pasti sama ada suspek pernah terbabit dalam mana-mana kegiatan jenayah sebelum ini,” katanya.

Dalam kejadian pada jam 6.30 petang kelmarin, Tan Swee Eng, 58, menggelupur kesakitan selepas disimbah sebotol cecair dipercayai asid ketika cuba menangkap tiga penjenayah yang cuba memecah masuk sebuah kedai kosong.

Ketika kejadian, salah seorang suspek yang terkejut dengan kehadiran mangsa ketika cuba melarikan diri di pintu belakang kedai menyimbah cecair di tangannya sebelum berjaya ditahan 40 anggota UKK lain yang turut mengepung kawasan premis.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mei 2015 @ 5:27 AM