NAJIB bergambar bersama kakitangan selepas menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di Putrajaya, semalam.
Oleh Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my

Putrajaya: Langkah sewajarnya akan diambil oleh Kementerian Kewangan bagi mengurangkan hutang ditanggung syarikat pelaburan strategik kerajaan, 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga Menteri Kewangan berkata, biarpun berdepan dengan pelbagai kritikan, langkah yang diperkenalkan itu lambat laun akan memastikan 1MDB mencapai matlamat asalnya.

Beliau berkata, isu serta kritikan mengenai 1MDB akan terjawab sedikit masa lagi iaitu selepas Ketua Audit Negara membentangkan laporan audit kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

“Saya berharap semua pihak akan menunggu laporan itu,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Katanya, beliau yakin Kementerian Kewangan dapat melaksanakan langkah pengurangan hutang itu.

Sebelum ini, Najib mengarahkan Ketua Audit Negara supaya mengesahkan akaun 1MDB termasuk butiran kewangan syarikat berkenaan.

Dalam pada itu, Najib berkata, beliau mencadangkan supaya hasil tambahan negara yang diperoleh menerusi kutipan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dibentangkan kepada rakyat pada sesi belanjawan akan datang.

Menurutnya, kutipan GST sepatutnya dipulangkan semula kepada rakyat, malah sistem percukaian itu juga memberi manfaat dan kebaikan jangka panjang untuk ekonomi serta rakyat.

“Saya akui memang ada rungutan dan persoalan daripada rakyat. Rakyat mesti faham, GST adalah sistem cukai yang cekap dan efektif kerana ia membantu meletakkan asas kewangan negara pada keadaan kukuh.

“Bukan hasrat kerajaan mahu membebankan rakyat. Bagaimanapun, pada masa sama, kami memberi timbal balas menerusi kenaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan penurunan cukai individu dan korporat,” katanya.

Katanya, pihak berkuasa juga dikehendaki memantau setiap rungutan rakyat bagi mendapatkan maklumat timbal balas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mei 2015 @ 8:12 AM