ANTARA alat ganti kenderaan jenama Proton yang dirampas dalam serbuan di premis alat ganti di Jalan Cheras, semalam.
Oleh Nabihah Kamal
am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Dua peniaga dikesan memperoleh keuntungan lumayan setiap bulan hasil kegiatan menipu ribuan pelanggan dengan menjual alat ganti kenderaan tiruan jenama Proton pada harga tulen.

Tindakan licik dilakukan di premis alat ganti di Jalan Cheras di sini, bagaimanapun terbongkar selepas premis itu diserbu anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kuala Lumpur jam 4.30 petang semalam.

Serbuan dilakukan berdasarkan aduan pemilik sah jenama berkenaan selain risikan anggota KPDNKK sejak seminggu lalu.

Timbalan Pengarah KPDNKK Kuala Lumpur Rosli Ahmad berkata, hasil pemeriksaan anggotanya di premis itu menemui sejumlah 20,594 pelbagai barangan jenama Proton yang disyaki tiruan.

Menurutnya, pihak KPDNKK turut berjaya merampas 3,986 pelekat jenama Proton yang dipercayai digunakan untuk ditampal pada kotak alat ganti Proton bagi mengaburi pengguna.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mei 2015 @ 7:53 AM