CADANGAN kerajaan larang menghisap rokok di restoran dan kedai makanan dapat reaksi berbeza.
Oleh Yusmizal Dolah Aling
yusmizal@hmetro.com.my

Kuala Lumpur

Kajian secara dalam talian yang dijalankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mendapatkan pandangan mengenai larangan menghisap rokok di restoran dan kedai makan mengundang reaksi berbeza daripada pelbagai pihak.

Bagi Persatuan Pekedai Kopi Cina Selangor dan Wilayah Persekutuan, langkah itu wajar dikaji semula kerana ia memberi kesan kepada kedai makan yang beroperasi secara kecil-kecilan kerana rata-rata pelanggan bersantai sambil merokok.

Presidennya, Hang Chin Pheng berkata, larangan terbabit tidak praktikal untuk dilaksanakan di kedai kopi kerana selain saiznya yang sempit dan kecil, ia hanya dikunjungi pelanggan tetap yang datang setiap hari untuk makan dan bersantai, bukannya berkonsepkan restoran keluarga.

Katanya, jika ia dilaksanakan, ia akan memberi kesan kepada hasil jualan kerana kebanyakan pelanggan ialah orang dewasa yang datang untuk bersembang bersama rakan sambil menghisap rokok.

“Saya rasa kementerian perlu tengok semula perkara ini. Ia boleh dilaksanakan, tetapi bukan di kedai kopi kecil, mungkin tempat lain kerana kami beroperasi secara kecil-kecilan,” katanya.

Hang berkata, KKM ada meminta cadangan daripada wakil peniaga, namun persatuan yang mempunyai 700 ahli itu tidak bersetuju kerana ia memberi kesan kepada pendapatan mereka jika ia dilaksanakan.

Menurutnya, pelanggan akan berkurangan jika larangan itu dikuatkuasakan kerana mereka tidak lagi dibenarkan menghisap rokok walaupun di premis seperti kedai kopi yang dikunjungi setiap hari.

“Ada cadangan supaya dibuat zon dan diasingkan perokok dan pelanggan lain. Ini pada saya tidak sesuai kerana saiz kedai kopi ini kecil saja, bagaimana nak asingkan. Kalau kedai perlu diubah suai, ia menelan kos lain pula,” katanya.

Beliau mengulas langkah KKM yang menjalankan kaji selidik untuk mendapatkan maklum balas orang ramai mengenai cadangan larangan merokok di premis makanan selepas satu pertemuan diadakan bersama beberapa pihak pada 27 April lalu.

Selain cadangan peniaga, KKM juga mendapatkan pandangan orang ramai untuk mengukuhkan cadangan mereka sebelum pengumunan mengenainya dibuat Menteri Kesihatan pada 31 Mei ini ketika sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Persatuan Pemborong dan Peruncit Muslim Malaysia (MAWAR), Mohd Dharik Shaik Maideen berkata, cadangan KKM itu sesuai dilaksanakan sebagai langkah membendung rakyat negara ini menghisap rokok.

Katanya, ia satu pendekatan positif kerana selain menjaga kesihatan, ia juga menjadikan suasana lebih selesa kerana pelanggan lain yang tidak merokok dapat menghirup udara segar dan menikmati hidangan dengan lebih sempurna.

“Bagi kami peruncit tidak ada masalah kerana kami menjual rokok kepada pelanggan dan terpulanglah mereka nak hisap di mana, tetapi secara keseluruhan, kita perlu lihat dari sudut kebaikannya kepada semua,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mei 2015 @ 7:15 PM