AHMAD Irwandy bersama anaknya, Ismahani selepas selesai pengebumian Salwa dan Iman Syahmi.
SALWA bersama Iman Syahmi yang maut dalam kemalangan.
Oleh Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my


Alor Setar: “Ni last (terakhir) aku belanja, nanti makan sendiri.” Demikian kata Salwa Salim, 31, ketika membayar sarapan rakan sepejabatnya kelmarin, sebelum maut dalam kemalangan di Kilometer 12.2 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Changlun, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kemalangan jam 2.20 pagi itu, Proton Wira Aeroback dipandu Salwa bersama dua anaknya, Iman Syahmi Ahmad Irwandy, 6, dan Ismahani, 3, dipercayai terbabas sebelum melanggar pokok kelapa di tepi jalan.

Difahamkan, kejadian itu disaksikan suami mangsa, Ahmad Irwandy Ayob, 36, yang memandu Proton Iswara secara berasingan di belakang ketika dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Belukar, Changlun.

Mereka dikatakan baru pulang makan malam selepas menyertai latihan boling di sebuah pasar raya di Jitra bersama rakan untuk persiapan menyertai kejohanan di Alor Setar, esok.

Rakan sekerja mangsa, Arnida Abdul Rahman, 31, berkata, dia yang bertugas dengan Salwa sebagai pembantu tadbir di Markas 30 Bridged di Mata Ayer, Perlis tidak menyangka perubahan sikap arwah apabila membayar sarapan satu pejabat menjadi petanda dia pergi buat selama-lamanya.

“Arwah seorang rakan yang baik dan disebabkan itu, saya bagaikan tidak percaya apabila dimaklumkan Salwa meninggal dunia bersama anak lelaki sulungnya,” katanya ketika ditemui di rumah ibu saudara arwah di Taman PKNK, di sini.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mei 2015 @ 5:20 AM