KHONG menunjukkan fotofit suspek.
Oleh Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@hmetro.com.my

Melaka: Polis memburu seorang lelaki dipercayai ketua penyelia sindiket penipuan menerusi talian ‘spoofing’ yang menyamar sebagai anggota polis untuk memperdaya mangsa sehingga menyerahkan sejumlah wang.

Low Chin Tee, 30, yang beralamat terakhir di Jalan Hang Tuah 1, Taman Salak Selatan, Kuala Lumpur, diburu membabitkan tiga kes bersangkut laporan Balai Polis Bukit Baru pada 16 Mei 2014, Balai Polis Tengkera (14 Julai 2014) dan Banda Hilir pada 20 Ogos 2014.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri Superintendan Ee Khong Koy berkata, Low dikesan sebagai ketua penyelia sindiket terbabit selepas tertangkapnya dua lelaki adik beradik pada 28 Mac dan 3 April lalu.

“Lelaki ini dikehendaki membabitkan kes penyamaran sebagai anggota polis yang meminta wang daripada keluarga mangsa selepas mendakwa anak mangsa menjadi tahanan polis bersabit kes memiliki dadah.

“Hasil siasatan ke atas dua lelaki yang ditahan itu, kita dapati suspek adalah ketua penyelia di China iaitu seorang pemilik satu daripada tiga akaun sebuah bank yang digunakan untuk mangsa mendepositkan wang hasil penipuan kira-kira RM500,000,” katanya.

Beliau berkata, semua tiga akaun bank suspek itu sudah dibekukan mengikut Akta Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA) dan hasil semakan kali terakhir imigresen pada Januari lalu, suspek masih berada di luar negara.

Justeru, beliau meminta orang awam yang mempunyai maklumat mengenai suspek agar menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohamad Lutfi Zakaria, di talian 019-6264460 atau talian 06-2854222.

Ee berkata, dari awal tahun ini hingga Rabu lalu, pihaknya menerima laporan mengenai lima kes penipuan menerusi penyamaran sebagai anggota polis.

Katanya, suspek menggunakan modus operandi dengan menghubungi mangsa iaitu warga emas menggunakan talian ‘spoofing’.

Menurutnya, suspek akan memperkenalkan diri sebagai pegawai kanan polis dan meminta wang sogokan jika mangsa mahu anak mereka yang didakwa berada di bawah tahanan polis bersangkut kes dadah, dibebaskan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mei 2015 @ 9:10 AM