PENDAKI GGHM di puncak Gunung Merapi.

Jogjakarta (Indonesia): Kepuasan terpancar pada wajah sembilan ahli Geng Gunung Harian Metro (GGHM) yang berjaya mengharungi cabaran dan menawan puncak Gunung Merapi pada ketinggian 2,913 meter dari paras laut, pagi Sabtu lalu.

Pendakian gunung berapi teraktif di Indonesia selama 10 jam bermula jam 1.40 pagi dari Selo, Kabupaten Boyolali, Jawa Tengah itu diketuai Pengarang Bisnes Harian Metro, Husain Jahit.

Sebelum memulakan pendakian pada awal pagi berkenaan semua peserta diberikan taklimat berkaitan laluan serta keselamatan oleh jurupandu tempatan dan bacaan doa bagi memberkati perjalanan.

Peserta yang dibahagikan kepada dua kumpulan itu dibantu empat jurupandu tempatan yang berpengalaman untuk merentasi laluan di kebun sayur, hutan dan lurah gunung berapi.

Bagi memastikan perjalanan tidak tersasar, peserta perlu melalui beberapa pos ditetapkan iaitu Gerbang Gunung Merapi, Pos 1, Pos 2 dan Pasar Bubrah sebelum ke puncak Gunung Merapi.

Pendakian ke puncak bermula dari Pasar Bubrah sejauh 0.6 kilometer ternyata bukan mudah buat semua peserta yang kepenatan apabila terpaksa berjalan di atas pasir jerlus selain mendaki cerun kawah gunung berapi aktif itu.

Meskipun keletihan meredah laluan berpasir, pemandangan indah di puncak gunung yang menjadi produk pelancongan Indonesia itu ternyata memberi ketenangan selain kepuasan kepada semua pendaki.

Merapi gunung kelima di Indonesia yang berjaya ditawan pendaki Harian Metro selepas Rinjani (Lombok), Agung (Bali), Kerinchi (Sumatera) dan Sumbing (Wonosobo).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mei 2015 @ 5:16 AM