DUA bas pekerja yang terbakar akibat khianat di Jalan Bayu, Kawasan Perindustrian Hasil, Tampoi, awal pagi semalam.
Oleh Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my

Johor Bahru: “Saya tidak menolak mungkin ia angkara khianat,” kata seorang pengusaha bas pekerja, M Devadassan, 40, yang kerugian RM60,000 selepas dua bas miliknya hangus dalam kebakaran di Jalan Bayu, Kawasan Perindustrian Hasil, Tampoi, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 3.30 pagi itu, empat bas pekerja yang diletakkan di kawasan parkir hadapan sebuah asrama pekerja rentung menyebabkan dua pengusaha bas kilang kerugian bernilai RM120,000.

Difahamkan, lokasi berkenaan menjadi tempat meletak kenderaan bagi pengusaha bas pekerja terbabit untuk memudahkan urusan penghantaran dan pengambilan pekerja dari asrama ke kilang elektronik di Senai dan Skudai, dekat sini.

Kes membabitkan kebakaran bas pekerja pernah dilaporkan berlaku pada April lalu menyebabkan sebuah bas pekerja hangus dalam kebakaran berdekatan lokasi sama.

Devadassan berkata, dia mendapat maklumat berhubung kebakaran membabitkan dua bas pekerja miliknya pada jam 4 pagi.

“Saya bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati dua bas yang terletak berdekatan antara satu sama lain sudah hangus terbakar.

“Saya difahamkan, sebuah daripada dua bas yang terbakar itu mengundur 25 meter dari parkirnya dan melanggar dua bas pekerja milik saya,” katanya.

Dia yang baru tujuh bulan mengusahakan bas pekerja berkenaan tidak menolak kejadian itu berunsurkan khianat.

Sementara itu, Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II Azmiza Zaini berkata, seramai 14 anggota membabitkan tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Johor Bahru bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan jam 3.37 pagi.

Katanya, api daripada empat bas pekerja yang terbakar itu dapat dipadamkan sepenuhnya pada jam 4.37 pagi.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS) Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kebakaran membabitkan empat bas pekerja di lokasi kejadian.

“Berdasarkan laporan rasmi dibuat, polis tidak menolak ia angkara perbuatan khianat dan menyiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat menggunakan api,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mei 2015 @ 5:07 AM