Oleh Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my

Putrajaya: Kepentingan rakyat merangkumi kos sara hidup, pendidikan, keselamatan, pengangkutan awam dan pembangunan di luar bandar akan menjadi keutamaan dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) yang akan dibentang 21 Mei ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, ia bagi memastikan taraf kehidupan rakyat Malaysia sentiasa baik dan berkualiti dengan terus memberi penekanan kepada ekonomi rakyat sama seperti perbentangan Bajet 2015 .

“Tumpuan khusus juga akan diberikan kepada pendidikan teknikal dan vokasional serta latihan. Cita-cita kami ini yang akan dipacu Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) adalah untuk melahirkan graduan yang seimbang dan menepati kehendak industri.

“Malah, saya juga melihat model (dalam bidang tekniknal, vokasional dan latihan) di negara lain termasuk Eropah yang mempunyai rekod cemerlang (dalam bidang ini) sejak kebelakangan ini,”katanya ketika berucap pada Sesi Dialog Bersama Pemimpin Perniagaan di Bangunan Perdana Putra, di sini, semalam.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Wahid Omar, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah dan Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti (SC) Datuk Ranjit Ajit Singh.

Bagaimanapun Najib berkata, ekonomi rakyat tidak akan lengkap tanpa sokongan daripada pihak swasta untuk meningkatkan pendapatan, menjana peluang pekerjaan dan memudahkan pembangunan kerjaya.

Katanya, beliau mengalu-alukan pandangan daripada sektor swasta untuk bekerjasama antara kerajaan dan majikan terutama bagaimana mengurangkan pengangguran dalam kalangan belia, meningkatkan penyertaan tenaga kerja wanita, melabur dalam peningkatan kemahiran pekerja dan meningkatkan pendapatan.

“Justeru, kami melihat anda (sektor swasta) sebagai kapten industri dan tidak seharusnya berdiam diri. Kongsikan fakta...ceritakan kejayaan perniagaan dan cita-cita anda,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mei 2015 @ 5:09 AM