DUA nelayan asing ditahan dalam serbuan di Perairan Kuala Selangor.
Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Mohd Hasbi Sidek
am@hmetro.com.my

Pelabuhan Klang: Sikap sambil lewa sesetengah majikan yang memandang ringan undang-undang perikanan negara ini menyebabkan mereka masih ‘keras kepala’ dengan menggajikan warga asing sebagai nelayan untuk menangkap hasil laut.

Undang-undang perikanan jelas melarang mana-mana warga asing bekerja sebagai nelayan dan mereka perlu mendapatkan kebenaran daripada Ketua Pengarah Jabatan Perikanan terlebih dulu untuk menjalankan sebarang aktiviti di laut.

Ini terbukti apabila Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang yang menjalankan Ops Tango Papa menahan enam lelaki warga asing yang bekerja sebagai tekong dan awak-awak untuk dua bot nelayan di Perairan Kapar, di sini, malam kelmarin.

Pegawai Pemerintah PPM Pelabuhan Klang Deputi Superintendan Ahmad Shafiki Hussin berkata, semua lelaki yang ditahan berusia antara 20-an hingga 30-an itu adalah warga Indonesia yang bekerja sebagai nelayan kepada rakyat tempatan.

Beliau berkata, dua bot berkenaan ditahan di sekitar perairan Kapar selepas pihaknya mengesan aktiviti menangkap ikan yang dilakukan warga asing kira-kira jam 10 malam.

“Ketika pemeriksaan lanjut dijalankan, tiga daripada mereka tidak memiliki dokumen perjalanan sah manakala tiga lagi mempunyai dokumen perjalanan sah.

“Mereka juga ditahan kerana melanggar syarat lesen penangkapan ikan berikutan tidak mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa perikanan negara ini,” katanya kepada Harian Metro, semalam.

Katanya, walaupun PPM menjalankan Ops Tango Papa secara berterusan bagi mengekang aktiviti perikanan yang menyalahi undang-undang, masih ada majikan tempatan berdegil dan menggajikan pekerja asing.

Menurutnya, semua yang ditahan dibawa ke Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang untuk siasatan lanjut yang dibuat mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1965/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen.

Beliau berkata, rakyat tempatan yang masih berdegil dan menggajikan warga asing sebagai nelayan juga tidak terlepas daripada dikenakan tindakan undang-undang.

Sementara itu, Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim Klang menahan empat lelaki warga Indonesia kerana bekerja sebagai nelayan tanpa kebenaran daripada pihak berkuasa negara ini, kelmarin.

Warga asing yang berusia dalam lingkungan 20 hingga 30 tahun itu ditahan selepas APMM membuat pemeriksaan ke atas dua bot nelayan yang sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan di perairan Kuala Selangor.

Ketua Penguatkuasa Maritim Daerah Klang Laksamana Pertama Maritim Mohd Aliyas Hamdan berkata, sebuah bot nelayan kelas A ditahan jam 11 pagi manakala sebuah lagi bot jenis sampan ditahan jam 9.30 malam hari sama.

“Mereka ditahan oleh anggota kami iaitu bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melakukan rondaan di perairan terbabit.

“Selepas diperiksa kami mendapati kedua-dua bot nelayan itu disyaki menggunakan empat warga asing tanpa kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan dan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya ketika dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mei 2015 @ 9:16 AM