Kuala Lumpur: Penekanan serta tumpuan terhadap golongan miskin dan kumpulan berpendapatan 40 peratus terendah akan terus diperkasakan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) menerusi Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) yang bermula 2016 hingga 2020.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, kumpulan itu menguasai 62 peratus daripada jumlah keseluruhan isi rumah luar bandar dan aktiviti pembangunan yang dilaksanakan akan memberi kesan secara langsung dalam meningkatkan taraf hidup serta pendapatan kumpulan ini.

“Berpaksikan terhadap strategi yang sudah digariskan, kita sudah mengemukakan permohonan berjumlah RM49.5 bilion kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU) bagi pelaksanaan projek pembangunan RMK11.

“Ia membabitkan 816 projek iaitu 761 projek baru dan 55 projek sambungan bagi tempoh lima tahun bermula 2016 hingga 2020. Pelaksanaan ini dijangka dapat mempercepatkan pencapaian matlamat Program Transformasi Luar Bandar,” katanya ketika memberi ucapan dalam Mesyuarat Penyelarasan Pembangunan Daerah 2015, semalam.

Beliau diwakili Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Alexander Nanta Linggi yang membacakan teks ucapan dan merasmikan mesyuarat berkenaan.

Shafie berkata, projek pembangunan luar bandar yang dilaksanakan akan memberikan tumpuan kepada negeri yang mempunyai bilangan B40 yang tinggi iaitu Sabah, Sarawak, Kedah, Kelantan, Perak dan Pahang.

“Kita hanya mempunyai lima tahun saja lagi sebelum menjelangnya 2020. Menerusi RMK11 yang bakal dihadapi bermula tahun depan, ia adalah fasa terakhir dalam perancangan lima tahun ke arah mencapai matlamat negara maju berpendapatan tinggi.

“Ia amat kritikal bagi memastikan matlamat itu dapat dicapai sepenuhnya. Bagi tujuan itu, ia perlu berkembang antara lima hingga enam peratus setahun selari dengan pertumbuhan ekonomi jangka panjang,” katanya.

Katanya, menerusi projek pembangunan berkenaan, ia diharap dapat meningkatkan galakan kepada produktiviti, inovasi dan daya saing dan galakan pelaburan oleh pihak swasta akan ditingkatkan sebagai mekanisme untuk memacu pembangunan ekonomi luar bandar.

Menurutnya, tumpuan juga akan diberikan kepada usaha untuk mempelbagaikan asas ekonomi dengan menggalakkan aktiviti berinsentif pengetahuan dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan pertanian.

Katanya, kementeriannya mengambil pendekatan yang berkonsepkan ‘big push’ dengan memberi pertimbangan secara pelbagai dimensi bagi memastikan ia merangkumi semua kumpulan sasar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mei 2015 @ 8:35 AM