Oleh Nabihah Kamal
am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Harga yang ‘cekik darah’ dan penggunaan alat timbangan tanpa tarikh luput antara kesalahan yang menyebabkan tujuh peniaga di Pasar Sungai Besi di sini, dikompaun serta-merta dalam operasi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), semalam.

Peniaga terbabit dikenakan kompaun berjumlah keseluruhan RM700 selepas didapati melanggar pelbagai kesalahan dalam operasi membabitkan pemeriksaan ke atas 177 premis perniagaan.

Ketua Setiausaha KPDNKK Datuk Seri Alias Ahmad berkata, 10 kes yang dikesan akan disiasat mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011, Akta Timbang dan Sukat 1972 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Dalam operasi itu, kami juga merampas 10 tong gas LPG daripada peniaga yang menjual bahan kawalan itu tanpa permit sah dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya ketika ditemui, semalam.

Sementara itu, Alias memberitahu, sehingga 7 Mei lalu, 236,701 premis diperiksa di seluruh negara sejak Ops Catut dilancarkan pada 1 April lalu.

“Sekarang ini kami sudah mula membuka kertas siasatan untuk 649 kes dan siasatan sedang dijalankan. Daripada jumlah itu, 260 syarikat atau individu sudah dikenakan kompaun,” tegasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mei 2015 @ 7:54 AM