Operasi mencari bukti dilakukan tiga agensi di kawasan Sungai Tua, Ulu Yam di Kuala Kubu Bharu.

Gombak: Sebilah pisau memasak bersaiz kecil yang digunakan untuk membunuh seorang janda anak empat di hadapan sebuah sekolah agama di Kuala Kubu Bahru berjaya ditemui pihak polis semalam.

Suspek lelaki berusia 20-an dan bekerja sebagai guru agama dipercayai mencampakkan pisau digunakan untuk menikam mangsa di belukar berhampiran kawasan Sungai Tua Ulu Yam di sini iaitu kira-kira 30 kilometer dari lokasi mayat mangsa ditemui.

Difahamkan pisau itu dijumpai jam 12.30 tengah hari semalam, hasil operasi bersama membabitkan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dibantu masyarakat Orang Asli Sungai Tua.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan R Suparamaniam berkata, alat khas pengesanan logam turut digunakan dalam pencarian senjata itu berikutan keadaan lokasi dipenuhi belukar.

“Lokasi senjata itu dibuang diperoleh berpandukan soal siasat terhadap suspek. Pisau yang dipercayai digunakan suspek dalam kes itu sudah dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisa.

“Penemuan pisau itu dijangka dapat membantu siasatan kes bunuh berkenaan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mei 2015 @ 9:09 AM