Oleh Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my

Putrajaya: Namakan saja apa gaya rambut yang dikehendaki sama ada ‘pompadour’, ‘scumbag boogey’, ‘skin fade slickback’ atau ‘psychobilly flattop boogie’, namun kemasan rambut tanpa ‘pomade’ ibarat lagu tanpa muzik.

Pomade bukan asing bagi penggemar gaya rambut vintaj terutama yang menggemari potongan belah rambut tepi serta potongan tipis bahagian kiri dan kanan rambut selain bahagian tengah rambut dibiarkan sedikit panjang dan tebal.

Itu penangan pomade iaitu sejenis zat berminyak dan berunsurkan lilin yang digunakan untuk menata gaya rambut menjadi aset kemestian bagi anak muda dan belia yang memilih untuk menggayakan rambut ala vintaj dan klasik.

Cakna dengan elemen suci dan halal, sekumpulan tiga anak muda mengambil inisiatif menghasilkan sendiri pomade yang menggunakan label ‘legacy pomade’ dan produk itu kini semakin mendapat tempat dalam kalangan anak muda dan belia tempatan.

Bagi Mohd Zainul Pirdaus Yusuf, 26, bersama dua rakannya, Abd Rahman Ab Rashid, 23, dan Firdaus Ali Dawood Abbasi, 23, idea menghasilkan sendiri pomade bertitik tolak daripada usaha memartabatkan produk tempatan selain menjamin kandungan halal dan suci.

Mohd Zainul berkata, dia mengakui ‘legacy pomade’ adalah keluaran 100 peratus buatan tempatan namun, tidak menafikan ada beberapa jenama tempatan lain yang dipasarkan selain produk yang diimport dari luar negara.

Menurutnya, sejak mula diperkenalkan beberapa bulan lalu, produk keluarannya memasuki pasaran Singapura dan Brunei sekali gus membuktikan ia setanding kualiti produk luar negeri.

“Sejak September tahun lalu, 10,000 unit ‘legacy pomade’ membabitkan dua produk berasaskan minyak dan air. Kini, kami mempunyai pelanggan tetap di seluruh negara dengan Selangor menjadi pasaran terbesar,” katanya.

Katanya, sehingga kini, 28 kedai gunting rambut di seluruh negara mengesyorkan penggunaan produk berkenaan selain melantik 85 wakil penjual di serata Malaysia dengan wakil penjual termuda berusia 14 tahun.

Mohd Zainul bangga dengan sambutan diterima kerana bukan mudah untuk seseorang kekal dengan satu-satu produk kecuali ia benar-benar berkualiti dan selesa dipakai.

Menurutnya, dia tidak menolak kemungkinan harga serendah RM25 seunit yang ditawarkan bagi pomade berasaskan air menjadi tarikan utama menarik pelanggan mendapatkan produknya.

“Kami menawarkan harga RM25 bagi pomade berasaskan air dan RM35 bagi pomade berasaskan minyak. Pomade berasaskan air yang kami hasilkan berbau haruman strawberi manakala, pomade berasaskan minyak pula menggunakan haruman tembikai,” katanya.

Katanya, dia berterima kasih kepada fenomena gaya rambut ‘pompadour’, ‘scumbag boogey’, ‘skin fade slickback’ atau ‘psychobilly flattop boogie’ yang menular di negara ini sehingga terhasilnya idea menghasilkan sendiri pomade menggunakan label sendiri.

Mohd Zainul berkata, gaya rambut klasik seperti digayakan selebriti seperti Wak Doyok dan pemain bola tanah air serta artis tempatan bukan lagi fesyen luar biasa sebaliknya ramai anak muda dan belia semakin selesa dan yakin dengan potongan rambut nipis dan tampak lebih dewasa serta profesional.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mei 2015 @ 10:36 AM