Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa dan Suraya Roslan
am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan tidak mengambil sebarang tindakan ke atas Nur Fitri Azmeer Nordin, 23, yang kini dihukum penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Southwark Crown, London atas kesalahan memiliki 30,000 imej dan video lucah kanak-kanak.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata, tindakan itu diputuskan berikutan pelajar pintar jurusan Matematik Kolej Imperial London itu menjalani hukuman penjara di negara itu.

“Dia tidak dikenakan sebarang tindakan selepas pulang ke negara ini memandangkan mahkamah di sana menjatuhkan hukuman atas kesalahan dilakukannya.

“Bagaimanapun polis sentiasa memantau pergerakannya supaya kejadian itu tidak berulang lagi, jika didapati dia masih melakukan perkara sama barulah kami bertindak,” katanya selepas merasmikan Seminar Pegawai Kanan Polis Wanita 2015 di sebuah hotel, di sini, semalam.

Sementara itu, Ahli Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Johan Abd Aziz berkata, MARA belum memutuskan kedudukan Nur Fitri Azmeer berikutan pelajar itu menjalani hukuman penjara di London.

“Satu mesyuarat khas diadakan dalam masa terdekat ini membincangkan status bekas pelajar tajaan MARA itu.

“Kami tidak mahu menganiaya sesiapa sebab kami (MARA) faham kami yang ambil (taja) dia daripada bangku sekolah rendah dan menengah sehingga ke peringkat universiti, sebab itu kami tidak mahu membuat sebarang keputusan sendiri,” katanya ketika ditemui dalam Program Permuafakatan Pendidikan Hulu Langat di German Malaysian Institut, Bangi, semalam.

Johan berkata, secara peribadi, dia bersetuju jika pelajar berasal dari Perak itu diberi peluang kedua meneruskan kehidupan.

“Dia harus diberi peluang kedua, pokok pangkal tuan punya diri yang mahu berubah,” katanya.

Nur Fitri Azmeer kini menerima kecaman pelbagai pihak selepas Ahli Majlis MARA Nazir Hussin Akhtar Hussin dilaporkan berkata, mahu peluang kedua diberi kepada pelajar itu menyambung pelajaran di mana-mana institusi MARA.

Bagaimanapun, kenyataan peribadi Nazir Hussin menerima kecaman orang ramai seterusnya melancarkan kempen #NoSecondChance di media sosial tanda tidak bersetuju dengan langkah MARA itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mei 2015 @ 10:05 AM