WARGA asing melarikan diri daripada pihak berkuasa di Pasar Selayang, semalam.
Oleh Suraya Roslan
surayaroslan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Lebih 100 penjaja warga asing bertempiaran lari, malah ada yang sanggup memanjat tembok setinggi dua meter semata-mata untuk meloloskan diri ketika diserbu pihak berkuasa dalam Ops Tegas di Pasar Selayang, dekat sini, semalam.

Dalam serbuan selama dua jam bermula jam 9.30 pagi itu, seramai 49 penjaja warga asing ditahan, 20 gerai disita, lima notis dikeluarkan dan enam kenderaan yang dijadikan lokasi menyimpan barangan dirampas kerana didapati melakukan kesalahan termasuk penyewaan gerai kepada warga asing.

Operasi diketuai Bahagian Penguat Kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Pelesenan dan Pengurusan Penjaja.

Penolong Pesuruhjaya Penguat Kuasa DBKL Osman Ismail berkata, serbuan dilakukan hasil risikan dan aduan orang ramai bagi membendung kegiatan penjaja dan penyalahgunaan sewaan gerai kepada warga asing.

“Sebaik mengetahui pasar berkenaan diserbu, lebih 100 penjaja warga asing bertempiaran lari dan bertindak nekad memanjat tembok setinggi dua meter untuk meloloskan diri.

“Bagaimanapun, 49 daripada mereka berjaya ditahan iaitu terdiri daripada 47 lelaki dan dua wanita warga Myanmar, Bangladesh, Nepal dan Indonesia,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.

Katanya, hasil siasatan pihaknya mendapati penjaja tempatan menyewakan gerai mereka kepada warga asing dengan bayaran RM1,500 sebulan.

“Kami turut merampas van, lori dan kereta dipercayai dijadikan stor penyimpanan barang jualan oleh warga asing.

“Hasil risikan juga mendapati mereka menjadikan kenderaan yang diletakkan di kawasan parkir sebagai lokasi untuk menjual barangan keperluan harian bermula jam 6 petang hingga awal pagi dengan harga murah,” katanya.

Menurutnya, pihaknya menegaskan akan mengambil tindakan dengan membatalkan lesen dan menyenarai hitam terus penjaja tempatan yang menyewakan gerai kepada warga asing.

“Pihak DBKL tidak akan teragak-agak untuk membatalkan lesen penjaja tempatan yang didapati menyewakan gerai mereka kepada warga asing malah menyenarai hitam terus nama untuk memohon lesen lagi dengan DBKL,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mei 2015 @ 7:31 AM