ANTARA rokok seludup bernilai RM5 juta yang dirampas di Kota Bharu.
Oleh Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Terpaksa meringkuk dalam penjara adalah hukuman dan pengajaran paling tegas kepada individu yang terbabit dalam penjualan, pembelian dan pemilikan rokok seludup.

Malah, rekod jenayah individu yang dijatuhi hukuman penjara walaupun sehari termasuk atas kesalahan memiliki, menjual serta mengedar rokok seludup, akan kekal sepanjang hayat.

Ini bermakna, rekod jenayah itu tidak boleh dipadamkan walaupun kesalahan hanya membabitkan sepeket rokok seludup.

Mahkamah Majistret Kota Bharu Kelantan pada 28 April lalu memberikan pengajaran buat seorang lelaki warga Pakistan kerana kesalahan memiliki rokok seludup yang menyebabkan dia dihukum penjara 21 hari dan denda RM400.

Hukuman diputuskan Majistret, Mohamad Nasrudin Mohamed terhadap Iftikhar Ali, 24, selepas tertuduh mengaku salah atas tuduhan itu.

Dia didakwa memiliki 15 peket rokok 12 batang iaitu berjenama Gudang Garam Nusantara Menthol Mild; Minna International, John F1 dan Premium yang keseluruhannya bernilai RM22.72.

Kesalahan dilakukan di sebuah kedai runcit di Taman jaya Trading, Kota Jembal, Jalan Raja, di sini, pada jam 11.15 pagi, 7 April tahun lalu.

Pada prosiding itu, Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Karthy Gasedev Deva Rajoo memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kepada tertuduh berikutan kesalahan yang dilakukan serius membabitkan hasil negara.

Mahkamah sama turut memerintahkan seorang peniaga kedai runcit didenda RM800 atau dipenjara sebulan jika gagal menjelaskan denda.

Majistret Amal Razim Alias menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Yap Eng Han, 39, mengaku bersalah menyimpan rokok seludup bernilai RM40.16 dua tahun lalu.

Mengikut Seksyen 135(1)(D) Akta Kastam 1967, pesalah boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau denda 20 kali ganda daripada nilai barangan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan bagi kesalahan pertama.

Bagi kesalahan kedua, pesalah boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda RM500,000 atau kedua-duanya sekali.

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mensasarkan 2,000 tangkapan ke atas pesalah kes rokok dan arak seludup menerusi Operasi Outlet Versi 2.0 (Rokok dan Arak) di seluruh negara, bermula tahun ini.

Justeru, orang ramai perlu menjadi ‘mata dan telinga’ JKDM untuk melaporkan kegiatan berkenaan, walaupun hanya membabitkan sebungkus rokok seludup.

Maklumat boleh disalurkan menerusi talian 1-800-88-8855 atau melaporkan kepada mana-mana pejabat JKDM.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mei 2015 @ 10:47 AM