NUR Fitri
Oleh Suraya Roslan
surayaroslan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Nur Fitri dijangka dihantar pulang ke Malaysia awal Jun depan selepas dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan,” kata Presiden Gabungan Pelajar Malaysia (GPMS) Jais Abdul Karim.

Beliau mengulas mengenai penuntut pintar Matematik, Nur Fitri Azmeer Nordin, 23, yang dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Southwark Crown, London, Khamis lalu atas kesalahan memiliki lebih 30,000 imej dan video lucah kanak-kanak, bukannya lima tahun seperti dilaporkan oleh media antarabangsa.

Jais berkata, berdasarkan undang-undang visa dan imigresen United Kingdom individu yang menjalani dua pertiga daripada tempoh hukuman penjara boleh dihantar pulang ke negara asal.

“Ini bermakna Nur Fitri sudah menjalani hukuman lima bulan sejak ditahan November 2014 dan dijangka dihantar pulang awal Jun ini.

“GPMS akan berbincang dengan Majlis Amanah Rakyat (MARA) berhubung isu ini supaya Nur Fitri dibenarkan menyambung semula pengajian di mana-mana institusi pengajian tinggi di negara ini sebaik dihantar pulang,” katanya ketika dihubungi Harian Metro di sini, semalam.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mei 2015 @ 10:54 AM