Oleh Abdul Rahman Adam
abdulrahman@hmetro.com.my

Kuching: Seramai 785 pemilik perniagaan di seluruh negara diberikan notis bagi mengemukakan alasan berhubung tindakan menaikkan harga barang susulan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sepanjang bulan lalu.

Daripada jumlah itu, sebanyak 540 kertas siasatan dibuka untuk diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga Anti Pencatutan.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Alias Ahmad berkata, peniaga yang sesuka hati menaikkan harga barang selepas GST tidak akan terlepas dan bakal berdepan tindakan undang-undang.

“Pegawai penguat kuasa bekerja siang dan malam termasuk pada hujung minggu memantau peniaga tidak beretika dan memberi nasihat kepada pengguna bagi memastikan pelaksanaan GST teratur.

“Justeru, saya menafikan dakwaan sesetengah masyarakat dan media sosial bahawa kami tidak menjalankan tanggungjawab,” katanya selepas meninjau harga barang di Pasar Stutong, di sini, semalam.

Alias berkata, sehingga kini terdapat tujuh kes dikesan masing-masing di Kuala Lumpur, Melaka serta Pulau Pinang dan akan dibawa ke Mahkamah Khas Anti Pencatutan bermula minggu depan.

Menurutnya, Malaysia adalah satu-satunya negara di dunia yang mempunyai Akta Kawalan Anti Pencatutan bertujuan membasmi peniaga daripada mengaut keuntungan berlebihan.

“Setakat ini, e-aduan KPDNKK sudah menerima 5,349 aduan sepanjang bulan lalu susulan pelaksanaan GST,” katanya.

Dalam pada itu, Alias berkata, sebanyak 14,524 premis selesai diperiksa dengan 94 kes sudah dibuka kertas siasatan di seluruh negeri ini.

“Semalam (kelmarin) saya berada di Serian dan hasil pemeriksaan mendapati ada peniaga yang masih mengenakan cukai berganda iaitu Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dan menambah enam peratus GST.

“Kita keluarkan notis kepada pemilik itu dan dia perlu menjawab dalam masa tiga hari sebelum siasatan lanjut dijalankan,” katanya.

Menurutnya, terdapat pemilik kedai runcit di Serian tidak mendaftar GST, namun menaikkan harga secara melampau kepada pengguna.

“Sebagai contoh, satu tin minuman yang diperoleh daripada pemborong bernilai RM1.10 setin tetapi dijual pada harga RM2 setin. Ia adalah contoh peniaga ambil kesempatan dari GST,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mei 2015 @ 8:46 AM