Kuala Lumpur: Gelombang pertama transformasi pendidikan negara yang digariskan di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 boleh disifatkan berjaya bersandarkan tempoh ditetapkan iaitu 2013 sehingga 2015.

Timbalan Menteri Pendidikan II P Kamalanathan berkata, 14 inisiatif yang menjadi keutamaan Kementerian Pendidikan dalam pelaksanaan PPPM menampakkan hasil positif apabila beberapa penanda aras menunjukkan peningkatan ketara.

“Beberapa penanda aras berjaya mencapai tahap yang kita inginkan seperti peningkatan prestasi literasi bahasa Inggeris (LINUS 2.0).

“Bagaimanapun, daripada segi pencapaian keseluruhan, kita masih belum berpuas hati dan banyak penambahbaikan perlu dilakukan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Prapelancaran Sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan kali ke-44 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, semalam.

Beberapa pencapaian yang menunjukkan peningkatan ketara hasil kejayaan dan kepercayaan guru dan pegawai pendidikan terhadap PPPM.

“Kita percaya dengan pencapaian gelombang satu membantu kementerian mengorak langkah ke gelombang dua (2016-2020),” katanya.

Di bawah Gelombang Satu, penekanan diberi kepada meningkatkan prestasi sistem dengan objektifnya menambah baik kualiti pendidikan Malaysia supaya setanding dengan pencapaian purata antarabangsa 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mei 2015 @ 9:42 AM