Oleh Fardy Bungga
fardy@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Polis trafik tidak akan ‘beri muka’ terhadap pesalah trafik seluruh negara untuk mengesan individu yang mempunyai kesalahan trafik dan saman membabitkan 1.59 juta waran tangkap.

Susulan itu pihak polis akan melancarkan Ops Warta besar-besaran bagi mengesan pesalah trafik ini bermula 5 Mei depan.

Bagaimanapun orang ramai diberikan tempoh bagi menyelesaikan saman tertunggak itu sebelum operasi dimulakan.

Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman Datuk Mohd Fuad Abd Latiff berkata, polis akan memberi peluang kepada pesalah trafik supaya tampil menyemak atau membuat rayuan dalam tempoh itu.

Menurutnya, polis mempunyai senarai lengkap maklumat pesalah trafik yang akan diagihkan kepada ketua trafik negeri bagi membolehkan tindakan diambil.

“Saya menyeru orang ramai supaya menyemak status saman masing-masing dan membuat pembayaran sebelum diambil tindakan.

“Individu yang mempunyai banyak saman dinasihatkan supaya tidak berdiam diri. Sebaliknya perlu tampil bertemu saya atau ketua trafik negeri bagi membincangkan cara penyelesaian saman mereka.

“Polis akan melaksanakan sekatan jalan raya selain datang ke premis mereka bagi tujuan mengesan dan menangkap pesalah yang gagal menghadiri perbicaraan kes kesalahan trafik,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, semalam.

Menurutnya, polis akan membuka kaunter semakan saman di semua balai trafik dan tempoh operasi akan dilanjutkan mengikut keperluan untuk memudahkan orang ramai membuat semakan.

Mohd Fuad menegaskan negeri yang mencatatkan paling banyak waran tangkap adalah Selangor diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Perak.

Sementara itu, Mohd Fuad memberitahu polis turut melaksanakan Ops Roda Mei ini, melalui kerjasama dengan pihak sekolah.

“Ia memfokuskan kesalahan trafik dalam kalangan pelajar sekolah. Polis memberi amaran kepada ibu bapa dan pelajar sekolah supaya tidak memandu kenderaan ataupun menunggang motosikal tanpa lesen sah.

“Polis mahu memberi kesedaran kepada ibu bapa supaya memastikan anak mereka mengikut peraturan untuk keselamatan mereka dan orang lain,” katanya.

Menurutnya, polis akan menyita kenderaan ditunggang pelajar terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mei 2015 @ 9:22 AM