Oleh Nabihah Kamal
am@hmetro.com

Subang Jaya: Sekumpulan perompak ‘Geng Manan’ dikesan menggunakan parang dan alat renjatan elektrik untuk merompak sebuah hotel bajet di sini.

Empat suspek berusia 30-an itu dikesan menyamar sebagai pelanggan sebelum merompak premis terletak di Jalan USJ di sini, jam 3.21 pagi, Khamis lalu.

Sumber berkata, suspek pertama terlebih dahulu masuk ke dalam premis dan menyamar sebagai pelanggan dengan berpura-pura bertanyakan harga sewa bilik.

“Bagaimanapun, suspek mengugut pekerja hotel itu berusia 24 tahun dengan mengacukan parang.

“Seorang lagi suspek kemudian turut masuk ke dalam lobi hotel itu sebelum mengugut mangsa menggunakan alat renjatan elektrik serta memaksa mangsa menyerahkan wang,” katanya.

Menurutnya, suspek kemudian merampas wang tunai berjumlah RM2,000 sebelum melarikan diri dengan menaiki motosikal.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Yahaya Ramli mengesahkan kejadian terbabit dan memberitahu dua suspek lelaki kejadian itu sudah diberkas polis.

“Suspek pertama ditahan jam 5 pagi kelmarin di Taman Medan, Petaling Jaya. Dia memiliki empat rekod jenayah lampau membabitkan dadah dan kes rompak di Petaling Jaya.

“Manakala rakannya berusia 29 tahun pula turut ditahan di lokasi sama tidak lama kemudian. Beberapa barang yang disyaki dicuri turut dirampas antaranya kasut, cincin dan motosikal model Yamaha 125 Z,” katanya.

Menurutnya, polis turut memperoleh rakaman rompakan itu melalui kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di hotel berkenaan.

“Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 395 serta Seksyen 397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mei 2015 @ 9:20 AM