Oleh Nabihah Kamal
am@hmetro.com

Kuala Lumpur: Menipu dengan taktik menawarkan pinjaman palsu melalui aplikasi WeChat. Itu antara helah digunakan seorang gadis yang memperdaya ramai mangsa kononnya mampu menguruskan pinjaman wang dalam tempoh singkat.

Suspek berusia 20-an itu turut menyebar gambar mangsa melalui laman sosial Facebook dengan memfitnah mangsa sebagai ‘kaki perempuan’.

Dalam kes terbaru, seorang pemuda, Chan Choon Hoe, 25, menjadi mangsa peras ugut suspek yang menyebarkan gambar wajahnya bersama maklumat palsu di laman sosial.

Menurutnya, dia mengenali suspek selepas menerima satu mesej melalui akaun WeChat yang menawarkan khidmat pinjaman wang segera.

Dia yang mengalami kesempitan wang gara-gara meminjam daripada along (ceti haram) segera membalas mesej itu dengan hasrat untuk meminjam wang,

“Saya menghubungi wanita terbabit melalui aplikasi WeChat untuk membuat pinjaman RM30,000 kerana mahu menjelaskan hutang along.

“Wanita dikenali sebagai Emily itu meminta saya membayar RM800 kononnya sebagai caj urusan proses pinjaman itu,” katanya.

Dia bagaimanapun hanya memberikan wang RM400 kerana tidak memiliki wang mencukupi.

“Saya menyerahkan wang itu kepada suspek di sebuah pusat beli-belah di Cheras, di sini.

“Wanita itu mendakwa dia adalah penasihat kewangan bertauliah membuatkan saya mempercayainya dan menyerahkan wang diminta,” katanya.

Bagaimanapun wanita itu menghubunginya dan mendesak dia membayar baki RM400 lagi.

“Saya mengesyaki sesuatu tidak kena apabila wanita itu tidak memberikan dokumen membuktikan pinjaman itu sedang diproses.

“Bagaimanapun, saya terkejut apabila wanita itu mengugut mahu memalukan saya di laman sosial,” katanya.

Menurutnya, dia terkejut apabila suspek memuat naik gambar wajahnya di FB dan menyebarkan maklumat palsu mendakwa dia seorang ‘kaki perempuan’.

“Akibatnya saya menerima ugutan bunuh hingga menyebabkan saya terpaksa tidur di dalam kereta akibat ketakutan,” katanya yang membuat aduan Biro Aduan MCA di Wisma MCA di sini, semalam.

Sementara itu Ketua Biro Aduan MCA Datuk Seri Michael Chong berkata, pihaknya menerima lebih 20 kes peras ugut menggunakan laman sosial.

“Kami percaya masih terdapat individu menjadi mangsa peras ugut itu namun malu membuat laporan polis,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mei 2015 @ 9:17 AM