Khazali (kanan) bersama Subromaniam pada sidang media GST di Ibu Pejabat Kastam Malaysia, semalam.
Oleh Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my

Putrajaya: Pengguna perkhidmatan telekomunikasi prabayar akan menikmati semula harga jualan kad tambah nilai prabayar seperti yang ditawarkan sebelum pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bermula Jumaat ini.

Pengguna hanya perlu membayar RM10 kad tambah nilai prabayar bagi mendapatkan nilai kredit yang sama tanpa ada sebarang harga tambahan.

Ketua Pengarah Kastam Diraja Malaysia Datuk Seri Khazali Ahmad berkata, pihaknya sudah memaklumkan arahan itu kepada semua syarikat telekomunikasi tempatan kelmarin bagi mengenakan harga asal berdasarkan konsep ‘termasuk cukai’ seperti pengenaan cukai perkhidmatan di bawah akta cukai perkhidmatan sebelum ini.

Beliau berkata, mengikut aspek perundangan GST, kad prabayar bagi perkhidmatan telefon adalah satu baucer kewangan yang mempunyai nilai muka sama dengan harga jualan.

“Justeru, apabila kad prabayar dibeli oleh pembeli, belum ada apa-apa bekalan perkhidmatan telekomunikasi diberikan kepada pembeli.

“Malah, perkhidmatan telekomunikasi hanya akan diberi dan diterima oleh pelanggan selepas pelanggan mengaktifkan atau menambah nilai pada telefon prabayar mereka,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Hadir sama Pengarah Bahagian GST Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Datuk T Subromaniam.

Katanya, berdasarkan keadaan itu, GST bagi kad prabayar telefon perlu dibuat secara ‘termasuk cukai’ sama seperti pengenaan cukai perkhidmatan sebelum ini.

Khazali berkata, pada 16 Mac lalu, pihaknya sudah memaklumkan perkara itu kepada semua syarikat telekomunikasi mengenai perkara itu termasuk mengarahkan supaya mereka mengekalkan kaedah pengenaan GST sama seperti kaedah pengenaan cukai perkhidmatan sebelum ini.

Menurutnya, pihaknya mahu syarikat telekomunikasi akur terhadap arahan itu dan pada masa sama, meminta orang ramai supaya melaporkan segera kepada pihaknya sekiranya mengesan peniaga yang masih menjual kad tambah nilai prabayar pada harga yang tidak sepatutnya.

Isu kad tambah nilai prabayar mencetuskan kemarahan pengguna apabila mereka terpaksa membayar tambahan 60 sen bagi mendapatkan kad nilai berharga RM10 sebelum syarikat telekomunikasi tampail dengan penyelesaian sementara.

Pada masa itu, syarikat telekomunikasi memberi jaminan bahawa mereka akan memberi tambahan masa berbual dan khidmat pesanan ringkas (SMS) lebih enam peratus tertakluk nilai kad prabayar yang dilanggan.

Dalam perkembangan lain, Khazali berkata, pihaknya akan melantik pegawai dan kakitangannya menerusi program ‘pembeli misteri’ apabila mereka akan menyamar sebagai pembeli dan pengguna.

Katanya, pembeli misteri itu bertujuan meningkatkan pematuhan pelaksanan GST dalam kalangan peniaga, pada masa sama, mengenal pasti peniaga yang berpotensi melakukan kesalahan perundangan GST.

“Inisiatif itu akan bermula pada esok (Jumaat) dan akan berterusan sehingga tahap pematuhan GST dalam kalangan perniaga mengikut kehendak perundangan GST,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 April 2015 @ 10:03 AM