Khairi (dua dari kanan) menunjukkan antara kertas judi, pencetak mudah alih, telefon bimbit, mesin faksimile dan sejumlah wang tunai yang dirampas ketika serbuan di sebuah kedai runcit.

Melaka: Sebanyak 25 premis judi ekor haram di dua daerah di negeri itu lumpuh selepas diserbu Skuad Taktikal Khas Antimaksiat, Perjudian dan Gangsterisme (STAGG) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, kelmarin.

Dalam serbuan dilakukan serentak di 25 premis membabitkan kedai runcit, kedai telekomunikasi serta rumah pada jam 3.30 petang itu, STAGG turut merampas RM39,435, 31, pencetak mudah alih, 48 telefon bimbit, 107 helai kertas judi dan sebuah mesin faksimile.

Ketua Penolong Pengarah STAGG Senior Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, serbuan itu dilakukan selepas menerima aduan orang awam.

“Kita melakukan risikan selama seminggu di premis judi ekor haram di Melaka Tengah dan Alor Gajah sebelum 136 pegawai dan anggota ditempatkan di setiap lokasi bagi memantau kegiatan sejak jam 10 pagi tadi (kelmarin).

“Siasatan awal mendapati, setiap premis meraih pendapatan RM500 hingga RM2,236 sehari,” katanya ketika ditemui di Ayer Keroh, di sini, semalam.

Menurutnya, dalam serbuan itu, seramai 43 ejen judi ekor haram turut ditahan iaitu 33 lelaki dan sembilan wanita berusia antara 25 hingga 50 tahun.

Katanya, hasil pemantauan dan siasatan awal, ejen judi ekor haram menggunakan tiga modus operandi berbeza iaitu menjual nombor ekor haram menggunakan cetakan pencetak mudah alih, menerusi telefon bimbit serta kaedah lama menjual kertas judi.

“Judi ekor haram ini semakin digemari apabila hadiah yang ditawarkan lebih besar berbanding kedai ekor berlesen.

“Malah, masyarakat yang beragama Islam tidak berani memasuki premis berlesen kerana bimbang ditahan penguat kuasa Jabatan Agama,” katanya.

Beliau berkata, semua yang ditahan diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Negeri (JSJN) untuk siasatan mengikut Seksyen 4A(a), Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan hukuman denda minimum RM20,000 dan maksimum RM200,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 April 2015 @ 8:05 AM