KWSP berusaha tingkat permintaan global produk patuh syariah.
Hafiz Ithnin dan Nur Lela Zulkipli
am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang mengumumkan empat inisiatif penambahbaikan utama yang diumumkan baru-baru ini turut mencadangkan untuk mewujudkan pilihan bagi akaun patuh syariah.

Pada masa ini KWSP melaburkan semua simpanan ahli dalam pelaburan secara beretika yang merangkumi patuh syariah dan konvensional.

Menerusi taklimat yang diberikan KWSP kepada media pada pengumuman cadangan itu bahawa asetnya bernilai RM636 bilion setakat 31 Disember 2014 yang mana 40 peratus daripadanya adalah berkonsepkan pelaburan patuh syariah dan 60 peratus konvensional.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, berikutan terdapat permintaan tinggi untuk akaun patuh syariah sepenuhnya, KWSP berhasrat menawarkan pilihan kepada ahlinya untuk memilih simpanan persaraan mereka.

Beliau berkata, walaupun ketika ini pelaburan yang dilakukan oleh KWSP bersifat konvensional, tetapi masih mengamalkannya dalam bentuk beretika iaitu tidak mencampurkannya dengan suatu dagangan yang haram seperti perjudian atau arak.

“Konsep patuh syariah yang kami maksudkan ialah bersifat pelaburan yang mengikut disiplin pelaburan Islam sepenuhnya seperti tidak menyertai bursa perbankan konvensional, tetapi ke arah perbankan Islam.

“Dalam bentuk pelaburan ekuiti lain juga, konsep pelaburan dalam hartanah adalah salah satu dikenali pasti. Manakala, pelaburan pendapatan tetap ia tidak membabitkan seperti bon, tetapi beralih kepada sukuk,”katanya.

Penawaran cadangan itu juga adalah salah satu usaha yang dilaksanakan oleh KWSP untuk meningkatkan permintaan global kepada produk patuh syariah dan membantu Malaysia untuk menjadi hab kewangan Islam global pada masa hadapan.

Shahril berkata, pelaburan dalam patuh syariah juga tidak terhad kepada ahli yang beragama Islam, malah terbuka kepada semua ahlinya tanpa mengira agama.

“Antara faktor kami mencadangkan untuk mewujudkan pelaburan patuh syariah apabila terdapat ramai ahli KWSP yang mengeluarkan wang mereka dari akaun satu kemudian membuat pelaburan dalam unit amanah yang patuh syariah.

“Selain itu, pelaburan dalam bentuk patuh syariah juga mempunyai kadar dividen yang berbeza,”katanya.

Sehingga Disember 2014, KWSP mencatatkan nilai aset pelaburan RM636 bilion yang mana 50.9 peratus dilaburkan dalam instrumen berpendapatan tetap, 42.4 peratus dalam pelaburan ekuiti dan baki 3.7 peratus dan tiga peratus masing-masing dalam instrumen pasaran wang dan kelas aset inflasi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 April 2015 @ 9:41 AM