KWSP sentiasa memastikan kebajikan ahli terpelihara.
Hafiz Ithnin dan Nur Lela Zulkipli
am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penyelarasan jumlah caruman minimum berdasarkan Perintah Gaji Minimum 2012 yang ditetapkan di bawah undang-undang berkaitan turut menjadi salah satu daripada empat inisiatif penambahbaikan utama terhadap skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Pada masa ini, tiada peruntukan khusus dalam Akta KWSP 1991 bagi memastikan ahli KWSP mendapat caruman minimum selaras dengan kadar gaji minimum yang ditetapkan kerajaan pada 1 Januari 2014.

Kadar gaji minimum kebangsaan bagi sektor swasta adalah sebanyak RM900 sebulan bagi Semenanjung dan RM800 sebulan bagi Sabah, Sarawak serta Labuan.

Pelaksanaan dasar gaji minimum ini selaras dengan objektif KWSP untuk meningkatkan simpanan persaraan ahli.

Malah, manfaat utama inisiatif ini adalah untuk melindungi ahli mendapat jaminan sumbangan majikan tidak kurang daripada caruman berasaskan gaji minimum.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, ahli KWSP juga diminta memberikan pendapat mereka mengenai cadangan memperkenalkan caruman tambahan bagi ahli yang mempunyai gaji di bawah paras gaji minimum bulanan.

“Cadangan ini bertujuan menangani isu yang dihadapi sebahagian besar pekerja yang dibayar caruman rendah daripada jumlah caruman berdasarkan gaji minimum yang ditetapkan di bawah undang-undang itu.

“Kami percaya jika inisiatif penambahbaikan ini diambil kira, sudah pasti ia bukan saja membantu melindungi ahli, tetapi juga dapat meningkatkan jumlah simpanan persaraan mereka,” katanya.

Katanya, jika majikan hendak mencarum, mereka perlu mengikut dan membuat penyelarasan berdasarkan Perintah Gaji Minimum 2012.

Oleh itu, apabila inisiatif ini dilaksanakan nanti, setiap bulan caruman bagi ahli akan dikira mengikut gaji minimum RM900 atau RM800.

“Sebagai contoh, potongan caruman bagi pekerja sebanyak 11 peratus dikenakan, manakala majikan pula sebanyak 13 peratus dikenakan ke atas gaji minimum RM900 atau RM800. Dengan itu, implikasi positifnya ia dapat menambah simpanan ahli apabila bersara nanti,” katanya.

Beliau berkata, sebagai sebuah dana simpanan persaraan, tanggungjawab utama KWSP adalah untuk memastikan keselamatan simpanan persaraan ahli.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 April 2015 @ 10:21 AM