YUSOFF bersama isterinya menunjukkan buah kelapa yang mempunyai rupa bentuk ganjil.

Sungai Petani: “Bentuknya kelihatan seperti betik, tetapi sebenarnya buah kelapa yang sepatutnya mempunyai saiz yang bulat, mempunyai isi tebal serta banyak air dan manis,” kata Yusoff Pakeer Mohamed, 65, apabila buah kelapa yang ditanam sejak lima tahun lalu di belakang rumahnya di Taman Universiti Jaya, Bedong di sini, mempunyai bentuk luar biasa selain tidak mempunyai isi atau air kecuali sabut.

Menurutnya, dia mengambil tiga biji buah itu ketika menghadiri kenduri di rumah kenalannya di Perak sebelum menanamnya di belakang rumah sebelum mula mengeluarkan hasil hujung tahun lalu.

Katanya, pada peringkat awal ia berbuah seperti biasa, namun kelihatan memanjang hingga ada beberapa biji yang mencapai saiz sepanjang 0.5 meter.

“Dua pokok yang ditanam menghasilkan buah berbentuk biasa walaupun ditanam bersebelahan dengan pokok kelapa itu.

“Walaupun mempunyai saiz yang besar dan panjang, namun ia tidak mempunyai sebarang isi mahupun air selepas saya membelahnya berikutan cucu terlalu ingin merasai airnya selain terkejut apabila hanya terdapat sabut,” katanya ketika ditemui, semalam.

Menurutnya, isterinya Sugrabibi Maideen, 64, turut mencadangkannya supaya pokok kelapa itu ditebang saja kerana tidak memberi sebarang hasil, namun dia berfikir mungkin terdapat manfaat lain.

“Mungkin ada yang lebih arif dapat melakukan kajian terhadap kejadian pelik itu dan mungkin juga ia mempunyai kegunaan lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 April 2015 @ 10:30 AM