Kuala Lumpur: Tawar pakej pelancongan percuma ke Malaysia sebelum mangsa dipaksa menjadi ‘buruh paksa’ operator sindiket penipuan ‘Macau Scam’.

Itu antara taktik dikesan diguna pakai sindiket penipuan panggilan telefon untuk mendapatkan pekerja bagi memperdaya orang ramai melalui panggilan telefon.

Sumber polis berkata, siasatan mendapati ada antara ‘buruh paksa’ sindiket itu turut dijanjikan pekerjaan bergaji lumayan di negara ini sebelum diugut melakukan jenayah itu.

Taktik itu dibongkar polis hasil penahanan 52 warga China yang dipercayai terbabit dalam sindiket penipuan ‘Macau Scam’ di enam kondominium mewah sekitar ibu negara pada 17 April lalu.

Serbuan diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kontinjen Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Izany Abdul Ghani berjaya memberkas 26 lelaki dan 26 wanita yang dipercayai adalah pekerja sindiket terbabit.

Siasatan mendapati sindiket itu menjadikan kondominium mewah yang disewa dengan harga RM28,000 untuk memastikan operasi kegiatan itu berjalan lancar dan tidak dihidu pihak berkuasa.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Law Hong Soon berkata, pihaknya sudah merekodkan keterangan semua 52 suspek terbabit.

Menurutnya, kertas siasatan terhadap semua suspek akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut dalam tempoh terdekat.

“Kami kini berusaha mengumpul semua maklumat berkaitan sindiket ini melalui pelbagai sumber bagi memastikan dalang utama dapat diberkas segera.

“Sekiranya dalang utama ini berjaya diberkas, kami percaya dapat menumpaskan sindiket ini sepenuhnya,” katanya.

Hong Soon berkata, pihaknya juga percaya ada antara mangsa penipuan sindiket itu adalah rakyat Malaysia dan polis menunggu lebih ramai mangsa tampil membuat laporan.

“Pihak kami juga mengharapkan kerjasama daripada orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan Macau Scam untuk melaporkannya kepada pihak berkuasa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 April 2015 @ 8:56 AM