MOHD Adnan (tengah) menunjukkan sebahagian wang dan dokumen yang dirampas dalam kes samun.
Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@hmetro.com.my

Shah Alam: Samun wang sebelum menghantarnya pulang ke negara asal. Itu antara taktik sekumpulan penjenayah didalangi warga Indonesia yang menyasarkan mangsa yang baru mengeluarkan wang dari bank.

Penjenayah setakat ini sudah melarikan wang berjumlah lebih RM2 juta sejak beberapa tahun lalu.

Berdasarkan siasatan awal, suspek dianggotai empat lelaki dan seorang wanita berusia 32 dan 53 tahun itu turut merompak wang milik sebuah syarikat jual beli emas berjumlah RM1.23 juta yang baru dikeluarkan dari sebuah bank di Mont Kiara, Kuala Lumpur, Khamis lalu.

Dalam kejadian jam 1.55 petang itu, mangsa berusia 43 tahun dikatakan baru selesai mengeluarkan wang RM1.76 juta sebelum sebahagian RM562,110 diserahkan kepada pelanggan syarikat itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Mohd Adnan Abdullah berkata, baki wang berkenaan bersama wang milik mangsa berjumlah RM30,000 kemudian dimasukkan ke dalam beg sandang sebelum mangsa memandu kenderaan Toyota Harrier.

Beliau berkata, mangsa singgah di sebuah stesen minyak di Kelana Jaya untuk membeli barangan.

“Beberapa lelaki menaiki tiga kereta model Proton Wira mendekati kenderaan mangsa sebelum memecahkan cermin kiri penumpang depan dan melarikan beg sandang mangsa.

“Berdasarkan laporan diterima, polis kemudian menubuhkan pasukan khas sebelum berjaya menahan empat lelaki di Gombak dan Sentul antara 2.30 pagi hingga 5 petang Sabtu lalu.

“Polis berjaya menemui semula wang tunai berjumlah RM20,000 yang disimpan di dalam poket seluar seorang suspek manakala sejumlah RM53,000 pula sudah dikirimkan ke Indonesia melalui khidmat kiriman wang antarabangsa,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, semalam.

Menurutnya, susulan daripada penahanan itu, polis memberkas seorang wanita Indonesia di Jalan Maxwell, Rawang, semalam (kelmarin) kerana dipercayai membantu suspek menghantar wang berkenaan ke Indonesia.

Katanya, tiga lelaki yang ditahan mempunyai kad pengenalan penduduk tetap manakala seorang lagi mempunyai pasport yang sah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 April 2015 @ 12:07 PM