Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa dan Fardy Bungga
kalidevi@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Hanya tempoh 15 minit diperlukan sekumpulan penjenayah geng kereta mewah untuk melarikan lima kenderaan bernilai RM2.2 juta yang disimpan di sebuah bengkel baik pulih kenderaan.

Dalam kejadian jam 9.15 pagi kelmarin, penjenayah menceroboh masuk premis itu yang terletak di Jalan Empat off Jalan Chan Sow Lin di sini.

Suspek mengambil kesempatan memanjat masuk premis selepas menyedari pengawal keselamatan selesai bertugas pada jam 7 pagi hari kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, hasil rakaman empat kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian mendapati lima penjenayah memasuki premis itu manakala selebihnya menunggu di luar premis.

Katanya, suspek memanjat tembok pagar dan menceroboh pejabat di bengkel itu menggunakan alat khas.

“Penjenayah didapati menggeledah laci pejabat untuk mengambil kunci kereta. Mereka kemudian masuk ke kawasan membaiki kereta dan melarikan lima kenderaan mewah.

“Antara kenderaan yang dibawa lari adalah sebuah kereta model Porsche Panamera berwarna hitam, Range pacuan empat roda Rover Evogue warna hitam yang belum didaftarkan, kenderaan pelbagai guna Toyota Vellfire berwarna putih, kereta Bentley Supersport dan kereta Audi A5,” katanya.

Beliau berkata, kumpulan itu turut melarikan peralatan komputer di dalam pejabat di bengkel berkenaan.

“Mereka seperti sudah tahu pengawal keselamatan hanya bertugas bermula jam 7 malam hingga 7 pagi.

“Kami sedang mengkaji rakaman CCTV itu dan akan berusaha mengenal pasti identiti suspek,” katanya.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 April 2015 @ 11:54 AM