Oleh Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my

Putrajaya: Operasi audit dilancarkan mulai bulan depan bagi memburu peniaga yang tidak menurunkan harga barang selepas stok dalam tangan yang dibeli sebelum pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) habis dijual.

Pengarah GST Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Datuk T Subromaniam berkata, ini kerana kerajaan membenarkan peniaga ini menuntut bayaran balik cukai jualan mengikut Seksyen 190 Akta GST, bagi mengelakkan kesan cukai dua kali ke atas stok barangan yang dipegang sebelum 1 April yang tertakluk kepada cukai jualan dan perkhidmatan (SST) iaitu lima atau 10 peratus.

Namun, beliau berkata, pihaknya mengesan ramai peniaga yang tidak mahu membuat tuntutan bayaran balik cukai jualan atas stok kerana ingin menaikkan harga barangan.

Menurutnya, perkara itu dibuktikan apabila hanya tiga daripada 75,000 syarikat yang layak menuntut bayaran balik cukai jualan atas stok membuat tuntutan masing-masing sehingga kelmarin dengan jumlah tuntutan RM93,837.

“Mengikut maklumat yang kami terima ramai yang tidak mahu membuat tuntutan, itu mungkin antara sebab harga barangan yang dijual ketika ini mengalami kenaikan, mereka (peniaga) tidak mengeluarkan elemen cukai jualan tetapi menambah GST... sudah tentu harga barang naik.

“Mungkin juga mereka ini salah tafsir undang-undang, kalau mereka tidak mahu menuntut tetapi mengenakan GST ke atas harga sebelum ini yang termasuk SST ia salah dan tidak wajar, jadi operasi ini akan dijalankan,”katanya pada sidang media mengenai GST di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Alias Ahmad.

Subromaniam berkata, operasi itu diadakan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dengan JKDM memberi bantuan teknikal termasuk jenis barangan yang dikenakan cukai jualan dan jumlahnya.

Menurutnya, operasi audit dijalankan sebaik saja stok dalam tangan peniaga habis, sekali gus memastikan harga barang diturunkan.

“Lazimnya stok dalam tangan habis dalam tempoh seminggu, dua minggu atau sebulan bergantung kepada jenis perniagaan, kalau pasar raya mungkin dua atau tiga hari habis.

“Jadi kami tunggu bulan ini habis, kami membuat pemeriksaan premis perniagaan ini untuk memastikan harga turun,”katanya.

Sementara itu, Subromaniam berkata, kategori perniagaan yang layak menuntut pembayaran balik khas cukai jualan adalah perniagaan ‘perdagangan’ seperti pasar raya, pasar mini, kedai runcit, kedai alat ganti dan pengilang yang masih mempunyai bahan mentah belum digunakan dalam pengilangan selepas pelaksanaan GST.

Katanya, syarat utama kelayakan tuntutan peniaga berdaftar wajib dibawah GST, memegang stok dalam tangan pada 1 April lalu dan invois belian dibayar selewat-lewatnya dalam tempoh 60 hari daripada tarikh pelaksanaan GST.

“Tuntutan dibawah RM10,000 hanya memerlukan sijil audit daripada mana-mana akauntan bertauliah, sementara tuntutan RM10,000 ke atas memerlukan sijil audit juruaudit diluluskan dibawah Akta Syarikat 1965,”katanya.

Sementara itu, Alias berkata, peniaga yang gagal menurunkan harga barangan selepas stok dalam tangan habis dijual dan ada elemen meraih keuntungan berlebihan boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 April 2015 @ 10:29 AM