Kuala Lumpur: Orang ramai dinasihatkan supaya tidak berada di kawasan lapang dan terbuka pada lewat petang berikutan cuaca ribut petir yang dijangka berlarutan sehingga pertengahan bulan depan.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Datuk Che Gayah Ismail berkata, cuaca berkenaan disebabkan peralihan monsun yang berlanjutan selama tiga bulan sejak Mac lalu.

“Pada waktu ini, kita boleh jangkakan akan berlaku ribut petir pada setiap petang dan malam.

“Seperti yang diketahui, ribut petir boleh mengakibatkan kerosakan harta benda dan mengancam nyawa di kawasan lapang dan terbuka,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

MetMalaysia turut meramalkan cuaca ribut petir di beberapa kawasan semenanjung dan panas pada sebelah pagi.

Menurut Che Gayah, cuaca panas pada masa ini menyebabkan proses pengewapan berlaku mengakibatkan ribut petir pada sebelah petang dan awal malam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 April 2015 @ 7:40 AM