WEE menunjukkan laporan polis sambil diperhatikan Jason (kiri) di Kelab Akhbar Cina Selatan, Johor Bahru.
Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my

Johor Bahru: Seorang warga emas kerugian sebanyak RM20,800 selepas wang pendahuluan membeli sebuah rumah di Taman Ungku Tun Aminah, di sini, tidak dipulangkan walaupun urusan itu ditarik balik, tiga tahun lalu.

Suri rumah, Wee Ah Mek, 68, berkata, dia menandatangani perjanjian jual beli rumah itu daripada suami isteri dengan harga RM208,000 pada 4 Jun 2012.

Dia berkata, ketika itu dia membayar RM1,000 sebagai pendahuluan sebelum menyelesaikan bagi deposit RM19,800 pada 30 Mei 2012 menggunakan draf bank kepada wakil peguam yang dilantik sambil disaksikan pemilik sendiri.

“Pada Oktober 2012, saya terpaksa menarik balik pembelian rumah itu dan dipersetujui oleh pemiliknya yang mendakwa dia mahu menjualkan kepada orang lain selepas urusan pembatalan itu diselesaikan.

“Pemilik juga berjanji untuk memulangkan deposit RM20,800 kerana dalam perjanjian jual beli menyatakan sekiranya pembatalan dibuat dalam masa enam bulan, deposit akan dipulangkan.

“Surat pembatalan dibuat pada 30 Oktober dan pemulangan semula deposit perlu dibuat oleh pemilik sebelum 29 Mac 2013. Namun, sehingga kini, saya masih tidak berjaya mendapatkan semula wang itu,” katanya dalam sidang media Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA di Kelab Akhbar Cina, di sini, semalam.

Wee yang berasal dari Kelantan itu bertambah kecewa apabila dia mendapati rumah berkenaan sudah diduduki pemilik baru yang dibeli dengan harga yang lebih tinggi sedangkan urusan pembatalan antara dia dan penjual masih belum selesai.

Ibu tunggal kepada empat anak itu berkata, dia semakin buntu dan kerap jatuh sakit apabila hilang punca pendapatan selepas salun kecantikan diusahakannya ditamatkan operasi kerana tidak mampu lagi diuruskan.

“Saya kerap ulang-alik ke Johor sejak tiga tahun lalu untuk menyelesaikan masalah ini sehingga perniagaan di Kelantan tidak dapat diteruskan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA Persekutuan Jason Teoh Sew Hock berkata, pihaknya sudah berusaha mengesan penjual berkenaan tetapi gagal.

“Kita sudah jumpa keluarga pemilik rumah berkenaan di Simpang Renggam, tetapi tiada maklumat yang diperoleh menyebabkan kami membantu Wee membuat laporan polis sekali lagi berserta bukti dikumpul,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 April 2015 @ 6:26 AM