ANGGOTA penyelamat mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Kuala Kubu Bharu: “Saya terkejut apabila tiba-tiba saja treler bergegar dengan bunyi dentuman kuat dari belakang menyebabkan saya sukar mengawal stereng,” kata pemandu treler S Vincent, 50, yang terbabit dalam kemalangan yang mengorbankan seorang pemandu treler di Kilometer 423 Lebuhraya PLUS arah Selatan, dekat Bukit Tagar, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu mangsa yang maut dikenali Mohamed Noor Abdul Hamid, 47, dari Bandar Perda, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Kejadian berlaku apabila treler dipandu Mohamed Noor merempuh treler dipandu Vincent menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

Vincent berkata, ketika kejadian dia membawa muatan simen dari Bidor, Perak ke Dengkil sebelum terbabit dalam kejadian itu.

Katanya, rempuhan kuat itu turut mengheret treler dipandunya sejauh kira-kira 50 meter sebelum berhenti di lorong kecemasan.

“Saya cuba membrek tetapi memang sukar sehingga treler terseret beberapa meter namun saya dapat berhenti di lorong kecemasan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Vincent berkata, sejurus kejadian dia turun dan terkejut apabila mendapati sebuah treler yang membawa muatan pelbagai jenis tong polivinil klorida (PVC) remuk teruk dan pemandunya tersepit di tempat duduk.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan 2 Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu Shamsol Majidy Hassan berkata, operasi mengeluarkan pemandu yang tersepit berdepan sedikit kesukaran berikutan kedudukannya yang tersepit antara kabin dan stereng treler memandangkan kedudukannya yang tersepit hingga ke bahagian kabin.

“Sebahagian badan mangsa sebelah kiri ke bawah juga tersepit di bahagian stereng dengan rangka kepala treler yang remuk namun kita berjaya lakukannya kira-kira 35 minit,” katanya.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan R Supramaniam berkata, siasatan awal mendapati treler dipandu mangsa merempuh belakang sebuah lagi treler sehingga menyebabkan kerosakan teruk.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 April 2015 @ 5:39 AM