AB Rahaman (tengah) merasmikan Karnival Sahabat Farmasi 2015 di Kip Mart Bachang, semalam.
Oleh Nor Shafinaz Sari
am@hmetro.com.my

Melaka: Kerajaan negeri bercadang membabitkan semua Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di negeri itu sebagai Sahabat Farmasi bagi memberi penerangan serta maklumat berkenaan ubat-ubatan yang selamat digunakan bermula tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Pembangunan Sukan Melaka, Datuk Ab Rahaman Ab Karim berkata, pihaknya akan mengadakan mesyuarat bersama pengerusi JKKK dan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam tempoh terdekat untuk menjayakan hasrat itu.

Menurutnya, JKKK adalah individu yang dekat dengan masyarakat setempat dan pemilihan mereka sebagai duta sahabat farmasi adalah bertepatan.

“Pengerusi JKKK ini bakal menggalas tugas sebagai pemberi maklumat kepada masyarakat di kawasan mereka berkenaan ubat-ubatan yang selamat digunakan serta boleh membahayakan kesihatan.

“Mengikut perancangan, program ini akan dimulakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu sebelum diteruskan ke DUN lain dan akan dijalankan dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Sahabat Farmasi 2015 anjuran Bahagian Perkhidmatan Farmasi JKNM di Kip Mart Bachang, di sini, semalam.

Turut hadir, Pengarah JKNM Datuk Dr Ghazali Othman.

Ab Rahaman berkata, bagi mengelakkan berlakunya penjualan ubat-ubatan yang tidak selamat, tamat tempoh dan tidak mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pihaknya meminta JKNM supaya mengadakan pemantauan dan serbuan secara berkala di semua farmasi di negeri ini.

“Pada tahun lalu, sebanyak 1,134 ubat yang tidak mendapat kelulusan KKM serta tamat tempoh dengan nilai keseluruhan
RM 210,000 berjaya dirampas melalui serbuan di farmasi sekitar negeri ini.

“Saya berharap dengan pelbagai program dan pemantauan yang dilakukan oleh JKNM akan dapat memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan menggunakan ubat-ubatan yang selamat,”katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 April 2015 @ 5:23 AM