ANTARA pelajar yang ditahan untuk pemeriksaan air kencing dan kaunseling.
Oleh Naqiukamil Abdullah
hmetroshahalam@hmetro.com.my

Klang: Ponteng sekolah untuk menyiapkan tugasan diberikan guru di kafe siber. Itu antara alasan popular diberikan pelajar sekolah yang dicekup dalam operasi membanteras pelajar ponteng sekolah di sekitar daerah ini, semalam.

Operasi berkenaan dijalankan Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Lumu dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Klang, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Majlis Daerah Klang (MPK) dan komuniti setempat.

Operasi bermula jam 8 pagi hingga 12 tengah hari itu menyasarkan kafe siber, restoran dan pusat beli-belah sekitar daerah ini.

Hasilnya seramai 51 pelajar tingkatan dua hingga lima dari beberapa sekolah menengah ditahan kerana berada di luar kawasan sekolah.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Lumu J Shanker berkata, operasi berkenaan dijalankan bagi membendung gejala ponteng sekolah yang berlaku di sekitar daerah ini.

Menurutnya, ia juga untuk memastikan golongan pelajar tidak terjerumus dengan masalah sosial lain seperti penyalahgunaan dadah, jenayah dan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan.

“Sekolah Menengah Raja Lumu mengetuai operasi bersepadu ini selain penyertaan daripada tiga pihak PIBG sekolah seperti Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Hamzah, Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Ampuan Jemaah dan Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Raja Zarinah.

“Kami menyasarkan kawasan di Pelabuhan Klang, Pandamaran serta Bandar Klang berdasarkan pemantauan dan maklumat yang diterima daripada orang ramai,” katanya kepada Harian Metro, semalam.

Beliau berkata, pelajar yang ditangkap atas kesalahan ponteng ini akan dikumpulkan di SMK Raja Lumu untuk diberikan kaunseling serta motivasi selain saringan air kencing pihak AADK.

Sementara itu, Pegawai PPD Klang Jabatan Disiplin, Noor Azhar Mohammad, 47, berkata pihaknya akan terus memerangi gejala poteng sekolah ini sehingga ke akar umbi.

Menurut Noor Azhar, operasi ini dijalankan mengikut garis panduan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan mengutamakan keselamatan pelajar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 April 2015 @ 9:11 AM