Semenyih: Seorang pengurus kilang ‘dihadiahkan’ tinju seorang pekerja warga Myanmar berpunca tindakan mangsa menegur suspek yang membawa telefon bimbit ketika bekerja.

Dalam kejadian jam 3.30 petang kelmarin, mangsa dikatakan membuat pemeriksaan di kilangnya di Jalan Sungai Lalang di sini.

Pemeriksaan dilakukan selepas mangsa menerima laporan masih terdapat pekerjanya membawa telefon bimbit meskipun perbuatan itu dilarang.

Difahamkan larangan membawa telefon itu sudah ditetapkan berikutan kebanyakan pekerja mengendalikan mesin yang terdedah kepada kecederaan.

Menurut sumber, insiden bermula apabila mangsa berusia 59 tahun itu menerangkan kesalahan dilakukan suspek.

“Suspek bagaimanapun ‘naik angin’ sebelum melepaskan satu tumbukan mengenai mulut mangsa yang turut menyebabkan mangsa terjatuh.

“Bagaimanapun beberapa pekerja yang turut berada di kilang itu berjaya menghalang suspek daripada terus memukul mangsa,” katanya.

Menurutnya, mangsa mengalami luka di bahagian atas bibir sebelum satu laporan dibuat di Balai Polis Semenyih di sini, pada petang kejadian.

“Suspek berusia 24 tahun itu kemudian ditahan polis untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2015 @ 8:22 AM