NAJIB diiringi Abdul Wahid (kiri) selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera di Putrajaya, semalam.
Oleh Siti A’isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my

Putrajaya: Sebanyak 18 daripada 23 kementerian dan agensi kerajaan mencatatkan 100 peratus pencapaian bagi 129 Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Bumiputera tahun lalu sebagaimana ditetapkan Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB).

Selain itu, empat kementerian lain pula mencapai sekurang-kurangnya 80 peratus KPI manakala, satu lagi kementerian tidak mencapai sasaran.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, KPI Bumiputera penting bagi menentukan Agenda Ekonomi Bumiputera dilaksanakan semua kementerian dan agensi kerajaan.

Menurutnya, Pelaksanaan Agenda Ekonomi Bumiputera secara rentas kementerian dan agensi ini penting bagi menentukan pembangunan negara bersifat inklusif.

“Pada tahun ini, MEB memperakukan 99 KPI Bumiputera untuk semua kementerian dan agensi kerajaan bagi tahun 2015.

“Bilangan KPI tahun ini lebih rendah daripada tahun sebelumnya kerana kita ingin melihat semua kementerian melaksanakan KPI berimpak tinggi, bersifat berasaskan hasil dan mempunyai sasaran lebih tinggi,” katanya.

Najib berkata demikian ketika mengumumkan Pencapaian Positif KPI Bumiputera 2014 selepas mempengerusikan Mesyuarat MEB di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar dan Pengarah Eksekutif Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) Norizan Sharif.

Turut berlangsung penyampaian Watikah Pelantikan kepada sembilan Ahli Majlis Penasihat Industri INSKEN.

Perdana Menteri turut menyaksikan Pertukaran Dokumen Perjanjian Kolaborasi antara INSKEN dengan Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC), Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK) dan Taman Teknologi Malaysia (TPM).

Dalam pada itu, Najib berkata, antara KPI Bumiputera bagi tahun ini ialah menentukan peningkatan siswazah berstatus bekerja semasa konvokesyen serta peratusan besar pelajar yang mengikuti pengajian di institusi pendidikan MARA mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan.

Katanya, selain itu, lebih banyak penajaan biasiswa luar negara Program Khas Kejuruteraan Jepun; Korea; Perancis dan Jerman diberikan kepada Bumiputera.

“Pemindahan teknologi kepada Bumiputera dengan nilai kontrak sekurang-kurangnya RM200 juta dan penjanaan nilai pasaran sebanyak RM2 bilion.

“Peratusan besar pemilikan rumah di bawah Program Bantuan Rumah diterima oleh Bumiputera, sejumlah besar rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dijual kepada Bumiputera serta hampir 40 peratus daripada keluasan keseluruhan premis perniagaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) disewakan kepada Bumiputera,” katanya.

Beliau berkata, KPI lain ialah menentukan lebih 50 peratus (kumulatif) daripada kos keseluruhan projek Mass Rapid Transit (MRT) ditawarkan kepada Bumiputera selain menentukan 50 francaisi Bumiputera baru diwujudkan dengan nilai perolehan sekurang-kurangnya RM48 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 April 2015 @ 8:39 AM