PERAIRAN Sungai Miri di Labuan yang dilaporkan dilanda fenomena air merah.
Oleh Ardyhansah Amat
ardyhansah@hmetro.com.my

Labuan: Gara-gara memakan ikan dipercayai dicemari alga berbahaya akibat fenomena laut merah, dua wanita mengalami kebas pada bibir dan sesak nafas sebelum dikejarkan ke Hospital Labuan, di sini, semalam.

Difahamkan sebelum kejadian, kedua-dua mangsa berusia 36 dan 59 tahun mendakwa turut mengalami sakit perut dan pening kepala selepas memakan ikan yang dipancing sekitar Laut Sungai Miri.

Mereka kemudian dikejarkan ke hospital sebelum dibenarkan pulang selepas mendapatkan rawatan.

Pengarah Kesihatan Labuan Dr Ismail Ali berkata, berdasarkan simptom mangsa, mereka disyaki mengalami keracunan kerang-kerangan paralitik (PSP) berikutan fenomena laut merah yang melanda pulau berkenaan sejak awal bulan ini.

“Mangsa mendakwa memakan ikan yang dipancing ahli keluarga petang kelmarin.

“Sebaik selesai menikmati hasil laut itu, kedua-duanya mengadu sesak nafas dan kebas pada mulut sebelum dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Dr Ismail berkata, keadaan mereka dilaporkan stabil dan tidak serius selain hanya dirawat sebagai pesakit luar.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 April 2015 @ 10:34 AM